11,677 kandungan deepfake diturunkan sejak 2024

11,677 kandungan deepfake diturunkan sejak 2024

TEO NIE CHING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 11,677 kandungan deepfake telah diturunkan daripada 12,496 aduan berkaitan penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak tahun 2024.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, jumlah aduan berkaitan kandungan deepfake menunjukkan peningkatan ketara dengan 917 aduan direkodkan pada 2024 meningkat kepada 3,612 kes pada 2025 manakala 7,967 aduan direkodkan setakat 15 Jun tahun ini.

Beliau berkata, tindakan penurunan kandungan itu dilakukan selepas MCMC mengemukakan permohonan kepada penyedia platform media sosial berlesen berhubung kandungan terbabit.

“Bagi membendung penyalahgunaan AI, kerajaan menerusi Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 mewajibkan penyedia platform media sosial berlesen melaksanakan langkah mitigasi risiko, termasuk terhadap kandungan yang dijana menggunakan AI.

“MCMC telah berunding dengan penyedia platform yang berlesen ini untuk melihat bagaimana pelaksanaan kewajipan tersebut oleh penyedia platform berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN–Bera) mengenai jumlah terkini kes penyalahgunaan AI yang dikenakan tindakan oleh Kementerian Komunikasi.

Tambah Nie Ching, MCMC turut menyokong siasatan agensi penguatkuasaan dengan menyediakan bantuan teknikal, termasuk pembekalan maklumat profiling serta analisis forensik digital selain melaksanakan pemantauan proaktif terhadap penyalahgunaan media sosial bagi kandungan AI. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN