KUALA TERENGGANU: Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu terbuka menerima kehadiran mana-mana individu yang memahami perjuangan dan semangat Rumah Bangsa demi memperkukuh parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusinya, Datuk Rozi Mamat berkata, parti itu tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana pihak yang mahu bersama UMNO selagi memahami perjuangan parti dan kepentingan rakyat.
Kata beliau, konsep Rumah Bangsa yang pernah dibawa kepemimpinan terdahulu perlu difahami dalam konteks penyatuan dan keterbukaan demi memperkukuh parti berkenaan.
“Kalau ada sesiapa yang memahami rumah bangsa ini dan mahu bersama perjuangan parti, kita terbuka. Tidak ada masalah. UMNO sentiasa membuka ruang kepada sesiapa sahaja yang mahu bersama memperjuang kepentingan rakyat dan bangsa,” katanya selepas Majlis Amanat Pengerusi UMNO Negeri Terengganu sempena sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-80 peringkat negeri di sini.
Beliau mengulas tindakan disiplin yang dikenakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap beberapa wakil rakyatnya termasuk Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang digantung hak keahlian selama dua penggal pemilihan parti tersebut.
Menurut Rozi, apa yang penting ketika ini adalah usaha memperkukuh UMNO dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu di Terengganu.
Mengulas mengenai calon ‘payung terjun’, beliau berkata, calon luar masih boleh diterima sekiranya individu tersebut dikenali masyarakat serta mempunyai hubungan rapat dengan kawasan yang ditandingi.
“Kalau calon itu memang dikenali rakyat, selalu turun padang dan mempunyai hubungan dengan kawasan tersebut, ia mungkin boleh diterima. Tetapi kalau datang secara tiba-tiba dan rakyat tidak mengenali calon itu, saya rasa ia agak sukar,” katanya. – UTUSAN










