SEREMBAN: Kerajaan mengarahkan semua institusi dan agensi miliknya yang beperanan membantu ekonomi rakyat supaya turun padang menemui peniaga kecil dalam kalangan anak muda untuk menyalurkan bantuan disediakan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, arahan itu ditegaskan dalam pertemuan khas beliau dengan agensi antaranya Majlis Amanah Rakyat (Mara), SME Corp., Amanah Ikhtiar Malaysia, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) dan Bank Rakyat, semalam.
Berdasarkan kajian, katanya, walaupun banyak bantuan disediakan kerajaan, masih ada kalangan peniaga anak muda yang miskin termasuk di Kuala Lumpur.
“Saya kata jangan tunggu mereka datang ke pejabat sebaliknya minggu depan turun ke pasar, buka gerai tanya anak-anak muda apa yang mereka perlukan.
“Negara ini harus prihatin dan tidak hanya tertumpu kepada kilang atau syarikat besar dan pelaburan dari luar sahaja,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan 2026 di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.
Menurut Anwar, gerak kerja seperti itu adalah cara Kerajaan Madani turun menemui rakyat untuk membantu mereka dan bukan hanya menunggu di pejabat.
“Kita mesti juga prihatin untuk lihat kepada keperluan anak-anak muda di peringkat akar umbi. Itulah sebabnya kita adakan perjumpaan khas tersebut,” ujarnya.
Beliau turut berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari yang memberi perhatian mencari kaedah baharu meningkatkan peranan anak-anak muda supaya terus aktif dalam persatuan belia.
“Penyertaan aktif dalam persatuan belia memberikan banyak manfaat kepada anak-anak muda.
Saya tidak fikir saya boleh aktif seperti hari ini kalau saya tidak terdedah dengan persatuan belia dulu,” katanya.
Sempena sambutan hari belia itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tahunan sebanyak RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM), meningkat berbanding RM4 juta tahun lalu. – UTUSAN










