SHAH ALAM: Talk To My Manager musim ke-2 (TTMM2) malam ini menyaksikan perjalanan pasangan anak beranak, Nana Mahazan dan Althea terhenti di konsert ketiga.
Althea yang mempersembahkan lagu Halaman Cinta meraih markah 58.67 peratus sekali gus berada di kedudukan tercorot minggu ini.
“Alhamdulillah, ok. Memanglah ralat dan sedih lebih kepada Althea sebab setiap minggu dia berikan yang terbaik.
“Mungkin ini bukan tempatnya. Kalau dia tersingkir pun saya tetap bangga dengan dia.
“Pertandingan ada kalah menangnya. Apa pun kita terima. Lambat laun penyingkiran itu tetap berlaku,” kata Nana.
Althea yang gagal menahan sebak, memaklumkan akan merindukan kawan-kawan di TTMM.
“Saya kecewa sebab tersingkir awal, harapnya terkeluar minggu ke empat. Saya tak dapat lagi buat persembahan dengan kawan-kawan TTMM. Saya akan merindukan mereka,” katanya.
Selesa di tangga teratas, pasangan Ani Mayuni dan Viviana yang menonjol dengan lagu Bintang dari Budak Kaca Mata, mendapat markah keseluruhan 84.33 peratus.
“Saya tak tahu nak cakap apa. Saya gembira tapi rakan sebilik saya, althea dah tiada.
“Apa pun usaha saya dan mak saya membuahkan hasil. Tanpa sokongan semua saya tidak akan berada di sini,” kata Viviana.
Sementara itu, Anugerah Inspirasi kasih Eskayve Minggu ini dirangkul oleh Safura dan artisnya, Kim Khairie manakala Anugerah Manager Paling Perform dianugerahkan kepada Datuk A. Aida.
TTMM2 menampilkan Datuk Syafinaz Selamat, Sarimah Ibrahim dan Datuk AC Mizal sebagai juri tetap, manakala Datuk Ramli MS sebagai juri jemputan. – UTUSAN










