PUTRAJAYA: Pelakon, Amir Nafis, mengakui sanggup bertemu sendiri dengan beberapa penggodam tempatan selain menonton pelbagai dokumentari berkaitan jenayah siber bagi mendalami karakter Mikael dalam filem terbaharunya, Konspirasi.
Menurut Amir, pendekatan tersebut penting bagi memastikan watak antagonis yang dibawakannya tampil lebih meyakinkan dan tidak kelihatan kaku di layar perak.
“Saya lebih gemar merujuk kepada manusia sebenar. Saya menonton dokumentari dan Alhamdulillah, saya berpeluang bertemu beberapa hacker tempatan. Saya perhatikan cara mereka bercakap, berfikir, malah cara mereka menaip yang mempunyai koordinasi sangat hebat.
“Saya mahu karakter Mikael ini mempunyai jiwa hacker Malaysia, bukannya meniru gaya dari luar negara kerana cara pemikiran kita berbeza,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Amir, watak penggodam yang dibawakannya itu turut memiliki sisi kemanusiaan serta justifikasi tersendiri di sebalik setiap tindakannya.
“Kelainan watak ini ialah saya membawakannya dengan pemikiran bahawa Mikael bukanlah seorang yang jahat. Pada saya, dia hanyalah individu yang bijak dalam bidang komputer, namun membuat pilihan yang salah.
“Mungkin di mata orang lain dia jahat, tetapi bagi dirinya, dia sedang melakukan perkara yang betul, manakala dunia di sekelilingnya pula yang bersalah. Kali ini, saya lebih fokus kepada keinginan watak itu untuk menuntut keadilan demi negara dan dirinya sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Amir berkata, dia juga perlu memecahkan stereotaip masyarakat yang sering melabel golongan penggodam sebagai individu ‘nerd’ dan anti sosial.
“Golongan hacker ini sering dianggap pelik oleh masyarakat. Berdasarkan kefahaman itu, apabila saya membawa watak yang mencari keadilan, dia mungkin nampak sedikit psiko kerana sifatnya yang unik.
“Cabaran utama adalah untuk memastikan karakter ini kelihatan realistik dan tidak janggal,” katanya lagi.
Menariknya, penglibatan Amir dalam naskhah tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada kerjayanya, malah turut menyentuh sisi peribadinya.
Menurut Amir, watak Mikael menjadikannya seorang yang lebih empati terhadap kehidupan dan kesusahan orang lain.
“Apabila selesai penggambaran, saya rasa lebih terbuka untuk memahami manusia. Jika terdengar sesuatu kes atau kejadian tidak enak, saya tidak lagi sekadar bersimpati, sebaliknya cuba memahami bahawa setiap individu mungkin sedang bergelut dengan masalah yang sangat berat.
“Watak Mikael ini secara tidak langsung membuatkan saya rasa lebih manusia,” katanya.










