PETALING JAYA: Pelakon, Tiz Zaqyah mengakui dirinya masih mempunyai tabiat sendawa kuat di tempat awam sehingga membuatkan dia sendiri berasa malu setiap kali ia berlaku.
Menurut Tiz atau Siti Zaqyah Abdul Razak, 38, bapanya pernah menegur sikap tersebut dan meminta dia lebih menjaga adab ketika berada di khalayak ramai.
“Bapa saya pernah tegur dan cakap jangan buat begitu di tempat awam. Masa itu saya tanya balik apa yang saya buat.
“Rupanya dia tegur sebab saya sendawa kuat depan orang ramai. Saya memang sudah terbiasa sendawa kuat macam lepaskan angin kononnya,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Tambah pelakon drama Tahajjud Cinta itu, dia sendiri mengakui pernah berasa malu apabila tabiat tersebut berlaku secara spontan di tempat awam.
“Banyak kali juga jadi dekat tempat awam sampai saya sendiri rasa malu. Bunyinya memang kuat sangat macam bunyi katak,” katanya.
Dalam pada itu, Tiz turut berkongsi satu kenangan ketika menjalani penggambaran bersama pelakon terkenal, Fazura menerusi drama Tahajjud Cinta.
“Suatu hari, semasa dalam penggambaran bersama Fazura untuk Tahajjud Cinta, saya selalu termenung tengok muka, kening dan mata dia. Sampai satu masa, saya nampak dia sendawa dengan sangat sopan, tutup mulut toleh tepi.
“Masa itu saya terus ambil perhatian cara dia bersendawa. Tapi, sampai sekarang saya masih sendawa kuat. Memang menjengkelkan juga bila fikir balik. Saya minta maaf sebab tabiat itu memang susah saya nak ubah,” katanya.
Untuk rekod, Tiz Zaqyah mula aktif dalam industri seni pada tahun 2006 dan pernah memenangi anugerah berprestij termasuk Pelakon TV Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).










