Tidak sangka jumpa kak ngah sudah meninggal dunia - Bapa saudara

Tidak sangka jumpa kak ngah sudah meninggal dunia – Bapa saudara

PASUKAN SAR membawa keluar jasad Nur Izzati Humaira Azizul yang ditemui selepas dilaporkan hilang ketika menuruni Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor. - GAMBAR IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Hasrat keluarga untuk bertemu Nur Izzati Humaira Azizul dalam keadaan selamat tidak kesampaian apabila takdir menentukan sebaliknya selepas remaja itu ditemukan meninggal dunia.

Bapa saudara mangsa, Azman Abdul Aziz, 57, berkata, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi walaupun amat berharap mangsa ditemukan dalam keadaan selamat.

“Kami sekeluarga memang berharap kak ngah dapat ditemukan dalam keadaan selamat, namun takdir berkata sebaliknya.

“Allah SWT lebih menyayanginya dan kami sekeluarga reda,” katanya.

Azman berkata, mereka dimaklumkan berhubung perkara itu pada 11.59 pagi dan pemergian Nur Izzati Humaira yang mesra disapa kak ngah dalam kalangan keluarga disifatkan kehilangan besar buat mereka.

Menurutnya, Nur Izzati Humaira yang juga anak kedua daripada empat beradik itu disifatkan seorang anak yang baik, bijak, menghormati dan suka meluangkan masa dengan keluarga, serta rajin belajar.

“Kehilangan kak ngah sangat dirasai kerana saya memang rapat dengan anak saudara termasuk kak ngah. Sejak hari pertama kehilangannya, kami sekeluarga sudah berkumpul dengan sentiasa reda dan berharap dia ditemui selamat.

“Kita sudah berusaha sedaya upaya dengan operasi dilakukan pihak berkuasa namun hari keempat operasi, kami menerima berita ini,” jelasnya.

Bercerita lanjut, Azman berkata, Nur Izzati Humaira bercita-cita mahu menjadi guru dan sedang menunggu keputusan permohonan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Katanya, jasad anak saudaranya itu masih berada di Hospital Kuala Kubu Bharu dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara, Sungkai di Perak selepas semua urusan selesai.

“Saya mewakili keluarga mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa, pasukan penyelamat serta ketua kampung dan penduduk Kampung Changkat Asa yang membantu sepanjang operasi serta orang ramai yang mendoakan kak ngah,” katanya.

Nur Izzati Humaira Azizul, 19, ditemukan meninggal dunia, hari ini selepas dipercayai tersesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa di sini, Sabtu lalu.

Remaja itu dipercayai tersesat ketika menuruni bukit sendirian pada 10.50 pagi, meninggalkan keluarganya di belakang kerana mahu tiba lebih awal disebabkan panas.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Komisioner Ibrahim Husin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan mayat sudah dihantar untuk proses bedah siasat bagi tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mangsa ditemui sudah meninggal dunia oleh Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) pada 11.58 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN