ALOR SETAR: Lelaki yang juga ejen hartanah diburu polis kerana disyaki menikam kenalan wanitanya di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas, di sini malam tadi berjaya ditahan awal pagi ini.
Suspek berusia 32 tahun itu ditahan sekitar pukul 1.50 pagi tadi ketika bersembunyi di kawasan masjid di Taman Uda, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, suspek kini direman selama seminggu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengetahui motif dan senjata atau peralatan digunakan dalam kejadian terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan seorang wanita berusia 35 tahun cedera parah di leher dipercayai akibat ditikam kenalan lelaki dalam kejadian di dalam kereta jenis Mazda, pada pukul 9.19 malam.
Mangsa yang juga ejen hartanah ditikam ketika dia berada tempat duduk pemandu, manakala suspek di tempat duduk penumpang hadapan. Suspek terus melarikan diri selepas kejadian. – UTUSAN










