KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan dua ekor lembu baka brahman untuk dikorbankan pada Majlis Ibadah Korban Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini hari ini.
Kedua-duanya merupakan antara 53 lembu korban yang disembelih bersempena majlis itu yang diserikan dengan kehadiran Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Hadir sama pada majlis itu adalah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Mohd. Anis Hussein.
Mohd. Anis berkata, pada majlis itu, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz turut berkenan mengurniakan lembu korban dengan masing-masing seekor lembu.
Katanya, pada majlis tersebut Maik turut menyumbangkan sebanyak 49 lembu korban dan melibatkan seramai 348 petugas bagi melancarkan urusan termasuk pengagihan daging korban.
“Kita akan mengagihkan daging korban tersebut kepada seramai 1,400 ketua isi rumah yang terdiri daripada asnaf fakir dan miskin melalui masjid-masjid di bandar dan jajahan Kota Bharu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Anis memberitahu, usaha Maik itu adalah untuk menyemarakkan lagi syiar Islam serta mengeratkan ukhwah sesama masyarakat melalui pengagihan. – UTUSAN










