KUANTAN: Kerajaan negeri komited mencari penyelesaian terbaik bagi meningkatkan akses ke Pulau Tioman, dekat sini termasuk meneroka semula perkhidmatan pengangkutan udara serta memperkukuh pilihan pengangkutan alternatif ke destinasi pelancongan terkenal itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk mengadakan kerjasama strategik dengan mana-mana syarikat penerbangan yang berpotensi menyediakan laluan ke Pulau Tioman dari Kuala Lumpur, Kuantan dan Singapura.
“Kerajaan negeri akan terus mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan berkaitan dan meneliti model pengangkutan udara yang bersesuaian untuk Pulau Tioman. Pada sama, kita memperkukuh pilihan akses lain termasuk perkhidmatan bot laju dari jeti ke Pulau Tioman yang mula beroperasi sejak 1 Mei lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Dr. Mohd Johari Hussain pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga terus bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan bagi menilai pelbagai pilihan meningkatkan aksesibiliti ke Pulau Tioman secara selamat dan praktikal.
Katanya, berdasarkan penilaian teknikal CAAM, cadangan pengubahan jajaran landasan Lapangan Terbang Pulau Tioman belum dapat memenuhi piawaian keselamatan penerbangan susulan faktor topografi berbukit dan halangan semula jadi di kawasan sekitar. – UTUSAN










