Sentimen perniagaan suku kedua 2026 mereda, peniaga mula berhati-hati - Utusan Malaysia

Sentimen perniagaan suku kedua 2026 mereda, peniaga mula berhati-hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peniaga tempatan mengunjurkan prospek prestasi operasi yang lebih sederhana bagi mendepani suku kedua 2026 berikutan sikap berhati-hati terhadap persekitaran pasaran global yang mencabar.

Ini dapat dilihat daripada Petunjuk Keyakinan yang mereda kepada -1.8 peratus daripada +4.0 peratus pada suku sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor pembinaan, perdagangan borong dan runcit, serta industri meramalkan prestasi yang kurang memberangsangkan bagi suku dikaji.

Beliau berkata, situasi tersebut mencerminkan sikap berhati-hati dalam kalangan komuniti peniaga berikutan persekitaran pasaran yang mencabar serta hambatan ketidaktentuan ekonomi global.

“Sektor pembinaan bertukar pesimis dengan petunjuk keyakinan -9.5 peratus berbanding +1.4 peratus pada suku sebelum ini, manakala sektor perdagangan borong dan runcit menurun kepada -7.5 peratus.

“Selain itu, sektor industri turut meramalkan prestasi kurang memberangsangkan dengan petunjuk keyakinan -3.7 peratus berbanding +3.3 peratus yang dicatatkan pada suku pertama 2026,” katanya dalam kenyataan. 

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, sektor perkhidmatan terus mengekalkan prospek yang positif dengan petunjuk keyakinan +6.2 peratus, didorong oleh pelaksanaan berterusan langkah sokongan kerajaan yang membantu mengekalkan kuasa beli pengguna serta aktiviti domestik.

Mengulas mengenai sentimen mengikut negeri, DOSM mendedahkan jangkaan perniagaan adalah bercampur-campur yang mana Terengganu mendahului unjuran optimis dengan +5.5 peratus, diikuti Kelantan (+3.8 peratus), Kedah (+3.2 peratus), W.P. Putrajaya (+2.3 peratus), Negeri Sembilan (+1.9 peratus), Johor (+1.2 peratus), Perak (+0.9 peratus) dan Selangor (+0.2 peratus).

“Sebaliknya, beberapa negeri memaparkan sentimen pesimis termasuk W.P. Labuan dan Melaka masing-masing pada kadar -9.5 peratus dan -9.18 peratus, selain Sabah (-7.6 peratus), Pahang (-7.1 peratus), Perlis (-7.1 peratus), Sarawak (-5.9 peratus), Pulau Pinang (-5.2 peratus), serta W.P. Kuala Lumpur (-2.8 peratus),” katanya. 

Bagi unjuran tempoh enam bulan (April hingga September 2026), peniaga secara keseluruhannya kekal optimis walaupun imbangan bersih mereda kepada +7.9 peratus berbanding +10.8 peratus sebelum ini, dengan sektor industri dan perkhidmatan kekal menjadi tunjang utama.

Dari segi hasil kasar untuk suku kedua 2026, sebanyak 33.0 peratus peniaga mengunjurkan peningkatan hasil, 43.0 peratus menjangkakan tiada perubahan, manakala 24.0 peratus lagi meramalkan penurunan, sekali gus menghasilkan imbangan bersih positif +9.0 peratus.

Bagi aspek guna tenaga pula, majoriti peniaga iaitu sebanyak 75.8 peratus mengunjurkan untuk mengekalkan jumlah kakitangan sedia ada, 14.7 peratus menjangkakan pengambilan pekerja baharu, manakala 9.5 peratus lagi berhasrat mengurangkan pekerja. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN