BUTTERWORTH : Sektor koperasi serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disaran agar memanfaatkan sepenuhnya kerjasama strategik serantau di bawah kendalian Majlis Perniagaan Bersama Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT JBC).
Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, sebagai tanda sokongan, pihaknya bersetuju dengan cadangan IMT-GT JBC untuk mewujudkan satu lagi jawatankuasa kerja iaitu Jawatankuasa Bersama Koperasi (CJC) bagi tujuan berkenaan.
“Untuk pengetahuan, IMT-GT ini melibatkan kawasan selatan Thailand, seluruh Semenanjung Malaysia serta kepulauan Sumatera di Indonesia yang secara keseluruhannya melibatkan 88,000 buah koperasi dengan lebih daripada 17 juta keahlian. Itu (17 juta) baru ahli koperasi, bukan penduduk. Kalau penduduk pula, dianggarkan mencecah 100 juta (di ketiga-tiga kawasan).
“Jadi, kita (ACO) telah mengadakan perbincangan untuk melihat bagaimana koperasi dan SME (PKS) ini boleh merebut peluang perniagaan di kawasan yang disebutkan tadi berdasarkan kepada potensi yang dilihat begitu besar sekali,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika mempengerusikan Program Rundingan Meja Bulat dan Padanan Perniagaan Sektor Koperasi IMT-GT yang dihadiri oleh kira-kira 50 peserta termasuk 18 delegasi antarabangsa dari negara-negara anggota ASEAN di sini, hari ini.
Difahamkan, program yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini itu merupakan kesinambungan daripada projek yang dirintis pada 2024 apabila sektor-sektor koperasi Malaysia mula diperkenalkan secara rasmi kepada komuniti IMT-GT di bawah naungan Pusat Kerjasama Serantau IMT-GT.

Dalam pada itu, Abdul Fattah yang juga merupakan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) berkata, antara bentuk kerjasama yang telah dipersetujui dalam program tersebut ialah kerjasama perniagaan yang melibatkan sektor seperti pelancongan.
“Perkhidmatan pelancongan atau perniagaan dan pelancongan ini mudah kerana ia hanya melibatkan individu sahaja tanpa melibatkan produk. Dalam hal ini, kita ada banyak pelancongan (untuk diketengahkan). Ada agro pelancongan, pelancongan kesihatan, pelancongan pendidikan, pelancongan alam sekitar dan lain-lain.
“Selepas itu (kerjasama pelancongan berjaya), barulah kita akan mulakan dengan perniagaan barangan pula. Contoh, produk seperti durian Musang King dari Malaysia akan dijual ke Indonesia. Begitu juga buah-buahan dari Thailand dipasarkan ke Malaysia dan sebagainya.
“Dalam konteks ini, perniagaan hanya diuruskan atau dijalankan oleh koperasi dengan koperasi. Pengguna pula tak ada masalah. Sesiapa sahaja (pengguna) boleh beli. Ini antara usaha yang kita buat untuk meningkatkan kerjasama perniagaan antara koperasi di rantau ini (ASEAN),” ujar beliau.-UTUSAN










