SEPANG: “Papa, saya sangat bangga dengan papa. Pergilah demi Gaza. Jika papa tidak kembali, tidak mengapa. Selepas 10 tahun, saya sendiri akan pergi dan menyertai Sekretariat Solidariti Nusantara.”
Itu ungkapan luar biasa daripada seorang anak kecil berusia 10 tahun yang menjadi sumber kekuatan utama buat aktivis, S. Patmanathan atau lebih dikenali sebagai Kapten Siva sepanjang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
“Itu satu pesanan daripada anak saya. Dia baru berumur 10 tahun. Masa saya pergi ke misi ini, dia beritahu saya. Itu adalah semangat saya dan saya akan kekalkan semangat itu.
“Dan satu pesanan daripada abang saya, dia kata, kau kalau tak pergi Palestin, tak pijak bumi Palestin, engkau jangan balik Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas pada Sambutan Kepulangan Aktivis GSF 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, malam tadi.
Terdahulu, penerbangan Emirates Airlines yang membawa kumpulan aktivis itu selamat mendarat di KLIA Terminal 1 kira-kira pukul 9.30 malam.
Mengulas lanjut, Patmanathan berkata, sebagai warganegara Malaysia berbangsa India, beliau turut menzahirkan penghargaan mendalam kepada orang ramai yang mendoakan keselamatan mereka, terutamanya selepas kapal dinaiki mereka dipintas tentera rejim Israel sebelum berjaya memasuki perairan Gaza.
Patmanathan turut menegaskan bahawa penderitaan yang ditanggung penduduk Gaza amat dahsyat, justeru mendorong dirinya bersama seluruh ahli keluarga bertekad untuk terus memperjuangkan nasib rakyat Palestin tanpa henti.
“Saya minta dan mohon kepada semua, jangan kecualikan saya daripada segala misi kemanusiaan selepas ini. Saya tidak akan berhenti,” katanya. – UTUSAN










