KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) memeterai memorandum perjanjian dalam bidang sains forensik.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, menerusi perjanjian itu, USM menawarkan tiga tempat bagi program Ijazah Sarjana atau Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang sains forensik selain dua tempat bidang sains sosial, pengurusan atau komunikasi dengan pengecualian yuran pengajian sepenuhnya.
“Kolaborasi strategik yang terjalin sejak tahun 2016 ini merupakan manifestasi komitmen kita dalam memperkukuh keupayaan siasatan forensik PDRM menerusi perkongsian kepakaran, latihan profesional dan penyelidikan strategik,” katanya berucap pada Majlis Penutup Dialog Khas PDRM V 2026 di sini, hari ini.
Mohd. Khallid berkata, sepanjang dua hari persidangan, sebanyak 31 sesi pengisian melibatkan ucaptama, perbincangan panel dan bengkel teknikal telah diadakan melibatkan pemain industri, agensi penguatkuasaan, pakar teknologi dan penggubal dasar.
“Segala input dan teknologi yang dikongsikan sepanjang dialog itu juga akan menjadi pemangkin kepada penganjuran Asia International Security Summit & Expo 2027 yang dijadual berlangsung pada awal tahun hadapan,” katanya.
Sepanjang persidangan, antara topik dibincangkan termasuk evolusi teknik manipulasi psikologi dalam jenayah siber, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kawalan sempadan serta strategi melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah menerusi risikan kewangan.
Selain itu, ia turut memberi tumpuan kepada usaha menangani ancaman keselamatan moden seperti jenayah siber, penipuan dalam talian dan jenayah rentas sempadan yang memerlukan kerjasama strategik pelbagai pihak mengambil kira ancaman kini semakin kompleks.
Mohd Khalid berkata, kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia sahaja telah mencecah RM2.7 bilion pada 2025, membuktikan cabaran keselamatan semasa tidak lagi boleh ditangani secara bersendirian oleh agensi penguatkuasaan.
“Kejayaan Ops Hazard 3.0 yang membongkar lebih 110 lokasi e-waste haram turut memperlihatkan evolusi ancaman keselamatan yang semakin sofistikated dan memerlukan pendekatan lebih menyeluruh.
“Tema ‘Synergized Policing: Securing the Future Together’ yang diketengahkan pada tahun ini amat bertepatan dengan realiti keselamatan global masa kini.
“Kita telah memperluaskan fokus perbincangan merangkumi ancaman keselamatan moden yang sangat membimbangkan seperti jenayah siber, penipuan dalam talian, jenayah rentas sempadan, sindiket narkotik serta isu kelestarian alam sekitar,” katanya. – UTUSAN









