Remaja maut, pemandu pacuan empat roda positif ketamin

Remaja maut, pemandu pacuan empat roda positif ketamin

KEADAAN kereta yang dipandu Muhammad Azmil Hakimi Abdullah yang maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan di Jalan Bukit Payong, Jerteh, Besut, Terengganu. - IHSAN POLIS 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan di Jalan Bukit Payong, Jerteh di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Azmil Hakimi Abdullah yang beralamat di Kampung Bukit Payong, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md. Sani Md Saleh berkata, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan  pacuan empat roda terbabit dipercayai memandu di bawah pengaruh bahan terlarang.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis ketamin.

“Polis menerima maklumat mengenai kemalangan melibatkan dua buah kenderaan itu daripada orang awam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian. Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa sedang bergerak di lorongnya sebelum menyedari sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan pacuan empat roda itu secara tiba-tiba memasuki laluan kereta mangsa,” katanya hari ini.

Md. Sani berkata, mangsa cuba mengelak daripada bertembung dengan memasuki laluan bertentangan, namun pada masa sama kenderaan pacuan empat roda tersebut kembali semula ke laluan asal lalu menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk urusan bedah siasat manakala pemandu pacuan empat roda itu pula dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Besut untuk tindakan lanjut.

“Dia kini ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952  manakala kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN