TANJUNG MALIM: Remaja perempuan berumur 19 tahun yang hilang dipercayai sesat ketika menuruni Bukit Changkat Asa di sini semalam masih belum ditemukan setakat ini.
Namun ahli keluarganya memberitahu remaja tersebut ada menjawab panggilan telefon daripada mereka.
Bapa saudara kepada remaja tersebut, Azman Abdul Aziz, 57, berkata, anak saudaranya iaitu Nur Izzati Humaira Azizul ada membalas panggilan telefon daripada keluarganya sejak semalam.
“Namun suaranya tersekat-sekat. Tidak tahu apa puncanya. Kemudian apabila dihubungi semula beberapa kali, terus senyap. Saya amat berharap dia selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
“Dia seorang yang pendiam, warak dan disenangi tidak mengira keluarga, rakan-rakan atau jiran berdekatan,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, anak saudaranya itu berhasrat untuk menyambung pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebaik sahaja tamat peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana bercita-cita menjadi seorang pendidik.
Sementara itu, ibu remaja tersebut, Mastura Md. Zin, 47, enggan ditemubual pemberita.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Azliza Ahmad berkata, operasi pencarian diteruskan pada pukul 9.29 pagi tadi dengan kekuatan lebih 40 individu merangkumi bomba, polis, APM, malim gunung dan penduduk kampung.
Katanya, seekor anjing Unit Anjing Pengesan (K9) bomba turut digerakkan untuk membantu operasi pencarian.
Cuaca mendung di Bukit Changkat Asa yang ketinggiannya 234 meter.
Semalam, media melaporkan Nur Izzati Humaira terpisah daripada lima rakan serta ahli keluarganya yang melakukan aktiviti mendaki di lokasi berkenaan. – UTUSAN










