KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli diminta untuk keluar daripada parti secara terhormat sekali gus mengumumkan pendiriannya dengan jelas.
Exco AMK Malaysia, Dzul Hilmi Zainol berkata, tindakan itu wajar dibuat termasuk bekas Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad kalau mereka berdua sudah tidak lagi bersama perjuangan parti itu.
Beliau berkata, anggota parti tidak boleh dibiarkan terus tertanya-tanya dan parti terus dibebankan dengan polemik yang tidak berkesudahan.
“Politik matang memerlukan kejujuran, bukan sindiran berpanjangan.
“Kalau benar sudah hilang keyakinan terhadap perjuangan dan hala tuju parti, maka Rafizi Ramli dan Nik Nazmi sepatutnya berterus terang kepada anggota parti dan rakyat.
“Jangan terus bermain tarik tali politik sambil mengekalkan kerusi Parlimen Pandan dan Parlimen Setiawangsa dan juga terus mempengaruhi penyokong beliau yang ada di dalam PKR,” katanya hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Rafizi bersama Nik Nazmi yang akan mengumumkan hala tuju politik baru pada 17 Mei ini selepas kedua-duanya meletakkan jawatan dalam Kabinet sebelum ini.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas tempoh setahun bagi meneliti pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor sebelum menetapkan langkah politik seterusnya.
Majlis pengumuman tersebut akan diadakan di PJ Performing Arts Centre (PJPAC) di Petaling Jaya.
Mengulas lanjut, Dzul Hilmi berkata, PKR dibina atas semangat perjuangan, bukan untuk dijadikan pentas tekanan peribadi atau politik mengadu domba.
Katanya, anggota di bawah bekerja siang malam mempertahankan kerusi setiap Parlimen mahu pun dewan undangan negeri (DUN) waima ketika susah, bukan untuk melihat pimpinan beragenda peribadi menghantar isyarat yang mengelirukan kepada akar umbi. – UTUSAN










