PETALING JAYA: Proton X50 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara kenderaan utiliti sukan (SUV) paling berpengaruh di Malaysia.
Dalam tinjauan pelanggan terkini mendapati peningkatan ketara minat pembeli terhadap gabungan teknologi premium, prestasi enjin, ciri keselamatan pintar serta harga yang kompetitif.
Proton berkata, dalam tinjauan yang dijalankan dalam kalangan pemilik model baharu X50 yang dilancarkan pada Julai 2025 itu menunjukkan perubahan ketara dalam corak pembelian pengguna SUV segmen-B, apabila pembeli kini lebih menekankan aspek pengalaman pemanduan, teknologi serta keselamatan berbanding faktor kemampuan semata-mata.
“Kajian berkenaan mendapati majoriti pemilik terdiri daripada golongan profesional berusia lingkungan 30 hingga 40-an dengan keluarga muda.
“Purata pendapatan isi rumah sekitar RM8,000 sebulan menunjukkan Proton X50 berada dalam segmen pembeli pertengahan yang mencari peningkatan gaya hidup melalui pemilikan SUV moden.
“Antara faktor utama pembelian yang dikenal pasti ialah nilai untuk wang, prestasi pemanduan, reka bentuk dalaman premium serta sistem teknologi pintar,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Proton, sistem infotainmen dan ciri bantuan pemandu turut menjadi pembeza utama berbanding pesaing dalam kelas harga sama.
“Responden turut menekankan prestasi enjin turbo 1.5 Liter yang memberikan keyakinan ketika memotong di lebuh raya serta kestabilan pemanduan jarak jauh.
“Suasana kabin yang lebih moden dan digital juga dilihat sebagai ciri yang biasanya terdapat pada SUV pada segmen harga lebih tinggi,” katanya.
Tinjauan turut menunjukkan kebanyakan pembeli membandingkan X50 dengan pelbagai model pesaing sebelum membuat keputusan, termasuk jenama Jepun dan China, sekali gus mencerminkan persaingan sengit dalam pasaran SUV tempatan.
“Sebahagian besar responden juga merupakan pemilik kenderaan sedia ada yang beralih daripada kereta jenis sedan dan hatchback kepada SUV, menunjukkan perubahan trend mobiliti keluarga di Malaysia.
“Faktor rangkaian perkhidmatan turut memainkan peranan penting apabila rangkaian pusat 3S dan 4S oleh Proton diianggap antara yang paling meluas di negara ini, meningkatkan keyakinan pembeli terhadap sokongan selepas jualan,” katanya.
Selain itu, analisis varian menunjukkan perbezaan jelas dalam profil pembeli.
Varian Executive menarik pengguna muda yang menekankan nilai dan praktikaliti.
Varian Premium pula lebih memfokuskan aspek keselamatan seperti Blind Spot Monitoring (BSM), Lane Change Assist (LSA), Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC) serta Lane Keep Assist (LKA), yang menjadi faktor utama pembelian bagi keluarga.
Sementara itu, varian Flagship menjadi pilihan isi rumah berpendapatan lebih tinggi yang mahukan pakej lengkap termasuk keselesaan premium dan ciri teknologi paling tinggi dalam rangkaian model tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, dapatan kajian itu mengesahkan strategi syarikat dalam mendemokrasikan teknologi automotif canggih untuk pasaran tempatan.
Beliau berkata, semakin ramai pengguna kini membandingkan X50 secara langsung dengan jenama bukan nasional sebelum membuat keputusan pembelian, sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan terhadap produk dan teknologi Proton.
“Perubahan ini menunjukkan pembeli Malaysia kini lebih menghargai gabungan emosi, teknologi dan praktikaliti dalam satu pakej kenderaan,” katanya.
Proton menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh penawaran Proton X50 bagi memastikan ia kekal relevan dalam segmen SUV yang semakin kompetitif di pasaran tempatan. –UTUSAN










