KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan peruntukan sukan dan kebajikan atlet tetap dipelihara dan akan terus menjadi fokus utama kerajaan hari ini.
Perdana Menteri berkata, meskipun negara berdepan kekangan kewangan namun, kebajikan atlet terus diberi tumpuan, termasuk dari segi latihan dan kemudahan yang disediakan.
“Walaupun kita kata ada kekangan kewangan, saya beri jaminan dan beritahu Taufik (Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari) dalam mesyuarat Jemaah Menteri, acara kegiatan dan kebajikan sukan tetap kita pelihara sepenuhnya. Tidak ada potongan.
“Saya ingat atlet ini bimbang sikit, susah hati (jika peruntukan dipotong). Jangan bimbang. Itu bukan masalah saya dan bukan masalah anda, itu masalah menteri.
“Jadi, mudah-mudahan kita lihat kejayaan terus di negara kita. Kita sudah capai tahap yang membanggakan,” katanya berucap pada majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di Bukit Jalil di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan kepada pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.
Turut disampaikan, Anugerah Olahragawan Paralimpik kepada atlet para berbasikal, Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin, manakala Anugerah Olahragawati Paralimpik kepada atlet para renang, Lim Carmen.
Mengulas lanjut, Anwar turut berkata, sebarang lebihan peruntukan perlu digunakan untuk tujuan kebajikan atlet.
“Jika mahu jayakan sukan, olahraga negara ini, tumpuannya mestilah kebajikan atlet. Itu menjadi faktor nombor satu. Lebih selesa dan mudah serta tempat latihan lebih baik,” katanya. – UTUSAN









