PKR Perak harap Anwar kekal di Tambun PRU16 - Utusan Malaysia

PKR Perak harap Anwar kekal di Tambun PRU16

HAIRUL Amir Sabri (tiga dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada pengamal media pada Majlis Hi-Tea Majlis Pimpinan Negeri PKR bersama pengamal media di Ipoh, Perak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: PKR Perak mengharapkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal bertanding di Tambun bagi mencipta gelombang yang membantu parti itu menang di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Pengerusinya, Hairul Amir Sabri melihat kehadiran Presiden PKR itu akan menguatkan jentera parti untuk menang lebih banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di wilayah utara Semenanjung Malaysia.

“Sudah semestinya kami sangat memerlukan Presiden berada di Perak, untuk membantu kami menang lebih banyak kerusi,” katanya pada Majlis Hi-Tea Majlis Pimpinan Negeri PKR bersama pengamal media di sini semalam.

Beliau mengulas pelbagai spekulasi menjangkakan Anwar akan beralih ke beberapa kawasan di Lembah Klang yang disifatkan sebagai kubu PKR.

Hal itu diperkuatkan lagi dengan pendedahan analisis strategik dalaman parti yang meletakkan Tambun sebagai kerusi sukar buat PKR untuk PRU-16 akan datang.

Hairul Amir bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada sebarang ketetapan rasmi berhubung perubahan kerusi yang bakal ditandingi oleh Anwar.

“Masih terlalu awal. Ikut pengalaman kami bersama dengan beliau, beliau akan membuat keputusan dalam tempoh dua tiga bulan sebelum PRU. Beliau tidak kisah soal kerusi itu selamat atau tidak,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengakui tentang data dalaman PKR yang menyatakan tiada kerusi selamat buat partinya di Perak dan menganggap itu sebagai satu cabaran sihat.

“Kita pun sedar. Kerusi di Perak bukan mudah untuk dimenangi termasuk Tambun sendiri kerana ia kerusi campuran (pelbagai kaum). Begitu juga Tanjung Malim, Gopeng dan Sungai Siput iaitu kesemua kerusi yang kita menangi.

“Bukan bermakna kita tidak boleh menang. Ini menjadi satu suntikan semangat. Kita perlu realistik dan tidak hanya memberi data-data yang hanya menyeronokkan kita,” katanya.

Beliau optimis PKR Perak mampu mempertahankan empat Parlimen sedia ada dan mengintai peluang untuk menambah beberapa lagi kerusi.

Mengenai kesan pengaruh Parti Bersama Malaysia, Hairul Amir menjangkakan kemungkinan ada segelintir ahli PKR Perak akan menyertai parti bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli itu.

Namun beliau tidak dapat memberi angka tepat kerana perkara itu hanya diketahui menerusi akaun media sosial individu terlibat selain data keanggotaan parti dipegang oleh pihak ibu pejabat PKR. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN