PKR Johor tidak berpolitik dengan angka - Zaliha

PKR Johor tidak berpolitik dengan angka – Zaliha

DR. ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor menegaskan, parti itu tidak berpolitik berasaskan angka yang dicanang oleh bekas pimpinan serta segelintir ahli yang mendakwa kononnya ribuan anggota akan meninggalkan PKR.

Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, sebarang keputusan untuk meninggalkan perjuangan tidak wajar disertai dengan tuduhan melulu, naratif mengelirukan atau kenyataan yang lebih bersifat emosi berbanding fakta.

Beliau berkata, dakwaan kononnya ribuan anggota akan keluar parti bersama pihak tertentu tidak seharusnya dijadikan alat propaganda politik semata-mata.

“Tidak adil untuk menggambarkan seolah-olah keseluruhan parti berada dalam keadaan rapuh hanya kerana segelintir individu memilih untuk membawa haluan berbeza.

“PKR tidak berpolitik dengan angka yang dicanang untuk mencipta persepsi, sebaliknya berpegang kepada fakta, kerja lapangan dan kekuatan sebenar di akar umbi. Jika benar ada rasa kecewa atau perbezaan prinsip, itu adalah perkara biasa dalam politik.

“Namun rakyat juga cukup matang untuk menilai sama ada sesuatu keputusan benar benar berasaskan prinsip perjuangan atau sekadar reaksi terhadap kekecewaan peribadi selepas proses demokrasi parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zaliha, PKR Johor tidak akan terheret dalam politik dendam atau polemik yang tidak membina.

“Fokus kami kekal jelas iaitu memperkukuh organisasi, merapatkan saf perjuangan dan memastikan parti berada dalam kesiapsiagaan penuh menghadapi cabaran politik akan datang.

“Perjuangan ini tidak pernah dibina atas kekuatan individu tertentu, jauh sekali bergantung kepada mereka yang datang dan pergi mengikut musim politik.

“PKR telah melalui cabaran yang jauh lebih besar, dan akan terus berdiri kerana kekuatannya terletak pada prinsip, bukan personaliti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN