KUALA TERENGGANU: Pemimpin Pas mengambil sikap ‘mengunci mulut’ apabila tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai inti pati mesyuarat tergempar di Seri Setia di Pantai, Batu Burok, di sini hari ini.
Mesyuarat itu menjadi tumpuan kerana dipercayai membincangkan semula hubungan dan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Mesyuarat itu disertai pimpinan tertinggi Pas namun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan setakat ini daripada mereka.
Beberapa kenderaan mewah yang keluar daripada pekarangan Seri Setia juga tidak membuka tingkap walaupun menyedari kehadiran petugas media.
Jumaat lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya sedang meneliti semula hubungan dan kerjasama politik dengan Bersatu menjelang PRU16, termasuk kemungkinan bergerak tanpa parti itu sekiranya gagal mencapai kata sepakat.
Abdul Hadi berkata, semua aspek melibatkan hubungan antara kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN) dikaji secara menyeluruh berdasarkan pengalaman pilihan raya lalu.
Susulan itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan semula hubungan dan kerjasama politik dengan Bersatu.
Beliau berkata, kepemimpinan parti itu kemudian dijangka mengadakan mesyuarat bersama kepemimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) selepas perbincangan di peringkat parti selesai. – UTUSAN










