ARAU: Di sebalik ujian kanser ovari tahap empat dan tanggungjawab menjaga empat orang anak termasuk dua orang kurang upaya (OKU), seorang ibu, Suzana Saibon, 46, cekal meneruskan kehidupan dengan berniaga kecil-kecilan di Kampung Tebuk, Simpang Empat, di sini.
Suzana dan suaminya, Muhammad Harzizi Nordin, 47, menjual air balang, laksa, kek dan aiskrim di sebuah kabin sumbangan Tabung Haji di hadapan Sekolah Kebangsaan Kampung Serdang, dengan pendapatan sekitar RM700 hingga RM1,000 sebulan bagi menampung perbelanjaan keluarga.
Muhammad Harzizi yang sebelum ini melakukan kerja-kerja pendawaian di Sungai Petani, Kedah juga berdepan masalah kesihatan iaitu slip disc atau tulang belakang akibat terjatuh ketika bekerja, sekali gus menyebabkan dia tidak mampu lagi melakukan kerja berat.
Manakala dua daripada empat anak mereka yang masing-masing OKU sindrom down dan masalah pembelajaran berusia 18 dan 10 tahun menghidap penyakit talasemia dan memerlukan rawatan pemindahan darah berkala.
Akibat kekangan hidup itu, anak sulung pasangan berkenaan, Muhammad Zulqarnain Haziq, 22, sanggup berkorban melupakan hasrat menyambung pengajian dan bekerja di sebuah kedai borong bagi membantu menyara keluarga. Suzana disahkan mengidap kanser pada November 2024.
“Pada mulanya, saya sekadar mengalami masalah perut kurang selesa, kembung yang disangka gastrik atau angin. Namun sakit itu tidak berubah dengan akhirnya saya mengambil keputusan membuat imbasan di sebuah klinik swasta dan didapati terdapat ketumbuhan sebesar 13 sentimeter di sebelah kiri dan lapan sentimer di sebelah kanan perut.
“Saya dirujuk ke hospital dan selepas menjalani ujian imbasan (CT scan) dan pelbagai prosedur, saya disahkan menghidap kanser ovari yang sudah merebak ke tahap empat.
“Sepanjang tempoh rawatan amat mencabar apabila terpaksa mengharungi sembilan kitaran kemoterapi yang selesai sepenuhnya pada Julai 2025.
“Sebelum itu, saya juga melakukan pembedahan untuk membuang ketumbuhan, rahim dan kedua-dua ovari saya. Ketumbuhan tersebut tidak menjejaskan usus, sekali gus menyelamatkan saya daripada memakai beg stoma,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dia yang kini meneruskan rawatan menggunakan ubat hormon berkata, Mac lalu, dia sekali lagi diuji apabila hasil ujian kesihatan mendapati kanser kelenjar menyerang, namun doktor memaklumkan keadaan tersebut masih lagi terkawal.
Suzana berharap kesakitan yang dihadapi segera berlalu dan dapat menjalani kehidupan normal.
“Kami terus kuat mencari rezeki di sebalik dugaan ini. Dua anak saya (OKU) juga mendapat sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung keperluan mereka,” katanya. – UTUSAN










