SIK: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia lima bulan, pada minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Amiruddin Mohamed Radzi, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu lori ketika berada di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian penumpang kereta iaitu bayi lelaki berusia lima bulan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran simpang Kampung Sadek, Jalan Baru Kulim -Baling- Grik, Baling pada pukul 10.30 malam, 7 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Jamal manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nursyafina Baharudin.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Intan Nursyafina memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM1,700 sebulan sebagai pemandu lori selain menanggung isteri, tiga anak serta ibunya.
Hakim Rohaida membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin dan syarat seorang daripada penjamin bukan ahli keluarga.
Mahkamah menetapkan 1 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan patologi. –UTUSAN










