Pelajar Politeknik Banting Selangor (PBS) baru-baru ini bergotong-royong memasang 10 unit lampu solar di kawasan pusat aktiviti Hal Ehwal Pelajar sekitar kampus politeknik berkenaan di Banting Selangor.

Program Solar-Cycle: Transformasi Sisa Kepada Cahaya” merupakan satu inisiatif persekitaran sihat yang diterajui oleh Kelab Mesra Alam PBS.
Projek berkenaan memfokuskan kepada penyelesaian dua isu utama di kampus iaitu pengumpulan bahan kitar semula dan pencahayaan di kawasan yang gelap pada waktu malam.
Jawatankuasa SmartGreen Politeknik Banting Selangor dan Kelab Mesra Alam menggerakkan kempen pengumpulan bahan kitar semula yang merangkumi logam, kertas, kotak, botol plastik dan sisa elektronik (e-waste).
Pengerusi Kelab Mesra Alam Sesi 2 2025/2026, Muhammad Nazrin Zulkifli berkata, program pemasangan lampu solar itu merupakan aktiviti yang melibatkan pelajar dan kakitangan politeknik bertujuan memelihara alam sekitar dan membudayakan penjimatan tenaga elektrik.

Sepanjang tempoh pelaksanaan dari Januari sehingga April lalu, projek tersebut berjaya mengumpulkan sebanyak 7,144.3 kilogram (kg) bahan kitar semula.
Hasil jualan sisa terkumpul turut digunakan sepenuhnya untuk perolehan dan pemasangan unit lampu solar di kawasan yang dikenal pasti di sekitar kampus.

Hasilnya, program tersebut bukan sahaja berjaya meningkatkan kebersihan fizikal persekitaran politeknik, malah memberikan impak pencahayaan di kawasan aktiviti pelajar dan memupuk budaya kelestarian dalam kalangan pelajar PBS.
Turut serta Pengarah PBS, Ibahim Burhan serta Timbalan Pengarahnya, Roswady Abdul Wahab.
Menurut Ibrahim, program Kelab Mesra Alam tersebut itu sememangnya amat bertepatan pada masa kini yang dapat menjimatkan penggunaan tenaga elektrik dan sekali gus meraikan Hari Bumi Sedunia yang disambut 22 April setiap tahun. –UTUSAN










