BUTTERWORTH: Seorang pekerja pembersihan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki di sebuah institusi pemulihan akhlak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bulan lepas.
Tertuduh, Noor Azlan Mat Nayan, 57, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 14 tahun di sebuah tandas bersebelahan bengkel pembelajaran institusi itu di Seberang Perai Utara, kira-kira pukul 11 pagi, 21 April lalu.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di lokasi yang sama seperti pertuduhan pertama, kira-kira pukul 9 pagi pada awal April lalu.
Atas kedua-dua kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.
Terdahulu, ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes melibatkan kanak-kanak di bawah perlindungan pihak berkuasa adalah serius dan tertuduh dalam rayuannya juga tidak memohon jaminan dengan alasan ahli keluarganya tinggal berjauhan.
Mahkamah menetapkan 24 Jun depan untuk sebutan semula bagi mendengar fakta kes serta menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh. – UTUSAN










