Pekebun, petani rumah hijau digalak tanam tanpa racun serangga

Pekebun, petani rumah hijau digalak tanam tanpa racun serangga

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan bercemar duli berangkat melawat Agropark, Program Dutch Trade Mission to Malaysia di tapak Rumah Hijau Fasa 1 di Tringkap di Cameron Highlands, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Pekebun dan petani yang mengusahakan tanaman secara rumah hijau di daerah ini digalakkan mengamalkan kaedah pertanian tanpa penggunaan racun serangga dan bahan kimia berbahaya.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, amalan pertanian yang lebih selamat, moden dan mesra alam penting bagi memastikan hasil tanaman berkualiti tinggi, selamat dimakan serta mampu memulihara kelestarian alam sekitar di kawasan tanah tinggi berkenaan.

Titah baginda, Kerajaan Belanda bersama syarikat-syarikat dari negara itu sudah banyak berkongsi input, teknologi dan kaedah pertanian moden yang bernas kepada para petani di Cameron Highlands dalam usaha meningkatkan mutu serta produktiviti hasil pertanian tempatan.

“Malah, pendekatan pertanian moden yang diperkenalkan termasuk penggunaan teknologi pintar dan kaedah kawalan biologi mampu membantu para petani mengurangkan kebergantungan terhadap racun serangga dan bahan kimia berbahaya,” titah baginda selepas berkenan bercemar duli berangkat melawat Agropark, Program Dutch Trade Mission to Malaysia di tapak Rumah Hijau Fasa 1 di Tringkap, di sini.

Al-Sultan Abdullah turut menyarankan kerajaan negeri serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan terus mengkaji dan memperkenal kaedah-kaedah baharu dalam sektor pertanian moden bagi meningkatkan keyakinan para petani di bumi Pahang untuk beralih kepada sistem pertanian yang lebih mampan dan berteknologi tinggi.

Baginda bertitah, usaha tersebut adalah penting bagi memastikan pengeluaran hasil tanaman yang lebih berkualiti, berdaya saing dan kompetitif untuk menembusi pasaran domestik serta antarabangsa, sekali gus memperkukuh sektor pertanian negeri sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara.

Sultan Pahang turut berharap para petani di negeri ini dapat memanfaatkan segala ilmu, teknologi dan kepakaran yang dikongsikan demi memastikan sektor pertanian di Cameron Highlands terus berkembang secara mampan, moden dan berdaya saing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN