Peminat buku dan komuniti pembacaan akan sekali lagi meraikan ‘hari raya’ buku mereka apa bila Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 menjenguk peminatnya di World Trade Center Kuala Lumpur bermula Jumaat ini.
PBAKL dianjurkan bermula 1982 melalui penganjuran Pesta Buku Malaysia. Ketika itu Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dengan kerjasama persatuan industri perbukuan tempatan menganjurkan pesta buku tersebut di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.
YANG PATUT ANDA TAHU BERKENAAN PBAKL 2026
Tarikh: 29 Mei hingga 7 Jun 2026.
Masa : Pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Lokasi: Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Jumlah pempamer: 198 syarikat.
Jumlah reruai: 1,210 unit
Sasaran pengunjung : 2 juta orang
Tema: Malaysia Membaca Merayakan Buku
Pempamer khas:
Negara Fokus: Arab Saudi
Negeri Tamu: Pahang
Pavilion Tajaan:
Pavilion Baitul Hikmah Madani (Jabatan Perdana Menteri – Hal Ehwal Agama)
Pavilion Kementerian Pendidikan
Pavilion Kementerian Perpaduan Negara
Pavilion China
Pavilion Selangor
Laman sesawang rasmi www.klibf.my
Kemudiannya, daripada Dewan Tunku Canselor berpindah ke Changkat Pavilion, seterusnya pesta buku tersebut dipindahkan lokasinya ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan pada tahun ini pesta buku tersebut sekali lagi dijenamakan semula dengan namanya sekarang atau Kuala Lumpur International Book Fair (KLIBF), iaitu apabila penyertaannya dibuka kepada pengusaha buku daripada luar negara.
Pertambahan penyertaan syarikat pengusaha buku dari dalam dan negara luar menjadikan PBAKL sebagai salah satu pesta buku terunggul di rantau ini.
Maka penganjuran PBAKL amat penting kepada pembangunan industri buku tempatan kerana mampu menjana ekonomi negara dan meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Dari segi mutu dan bilangan judul bahan bacaan yang dipamerkan, ia jelas menunjukkan peningkatan, terutamanya buku profesional dan buku akademik.
Sekali lagi PBAKL 2026 dianjurkan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan dengan tema tahun ini, Malaysia Membaca: Merayakan Buku.
PBAKL 2026 dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Mei manakala majlis penutupan dijangka dilakukan oleh Menteri Pendidikan pada malam 7 Jun.
Selain pameran di reruai-reruai yang disediakan, PBAKL 2026 turut menyediakan beberapa pentas aktiviti dan sebuah bilik seminar iaitu pentas utama yang menjadi lokasi utama PBAKL 2026), di Aras 3, Pentas Dewan Merdeka (Aras 3) dan Bilik Kuala Lumpur (untuk seminar/ bengkel) di Aras 5.
Pengerusi Pengelola PBAKL 2026, Mohd. Khair Ngadiron berkata, pihaknya kali ini menyasarkan jumlah pengunjung dua juta orang.
PBAKL diadakan bertujuan memajukan industri penerbitan buku tempatan dan menggalakkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan bidang perbukuan seperti penulisan, penyuntingan, ilustrasi, penterjemahan, dan pemasaran buku di negara ini.
PBAKL juga menjadi wadah mempromosikan judul-judul terkini bahan terbitan tempatan, sama ada bahan bercetak mahu pun bahan elektronik dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain dari dalam dan luar negara.
Selain itu, PBAKL juga diharap membantu memupuk kesedaran tentang kepentingan buku sebagai pembekal ilmu dan pengayaan minda untuk pembinaan modal insan.
Pada masa sama, pesta buku tersebut diharap membantu menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat di semua peringkat, khususnya pada generasi muda dan institusi keluarga.
Tujuan lain adalah menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab bagi penerbitan dan pemasaran buku serta perdagangan hak cipta dan lesen perbukuan di rantau ini.
Pengerusi Pengelola PBAKL 2026, Mohd. Khair Ngadiron berkata, PBAKL kali ini sebagai perayaan ilmu yang penuh keterujaan melalui pelbagai segmen istimewa untuk semua lapisan masyarakat.
Pihaknya menyediakan tarikan khas seperti Galeri Buku Kegemaran Pemimpin Madani, Festival Sastera Kanak-kanak dan Festival Kata yang menjadi medan wacana dan pertukaran idea.
Beliau berkata, dunia perbukuan kini masih memberangsangkan berdasarkan kepada penganjuran PBAKL yang mendapat sambutan dengan anggaran pengunjung secara purata seramai dua juta orang.
“PBAKL 2026 ini adalah kemuncak pesta buku yang diadakan di setiap negeri menerusi Perpustakaan Negeri dan menjadi platform menghimpunkan penulis, penerbit, pembaca, pencetak pengedar dan semua pihak yang berada dalam rantai pengeluaran industri buku,” ujarnya.
Dalam masa sama katanya, semakin ramai menjadikan buku sebagai wadah memperkenalkan buah fikrian, idea dan pandangan, sekali gus menjadikan buku kekal relevan dalam masyarakat.
Ada individu tertentu termasuk seorang arkitek dari London juga mempamerkan buku yang semakin laris dan mahu datang ke PBAKL 2026 mempromosi bukunya.
Maka dengan itu, Mohd. Khair menafikan dunia perbukuan semakin merudum apatah lagi buku mencetuskan industri lain semakin berkembang iaitu apabila buku difilemkan di Barat atau ada buku sudah divisualkan.
“Dalam masa sama, kita melihat meski pun ada kes penerbit buku terpaksa gulung tukar kerana berdepan kos pengeluaran yang semakin meningkat tetapi penerbit penerbit baharu muncul jika mereka bijak beradaptasi dengan cabaran semasa industri penerbitan.
Antara penganjur PBAKL 2026
Majlis Kebangsaan Buku Malaysia (MBKM)
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)
Perbadanan Kota Buku (PKB)
Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM)
Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA),
Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia (MBEIA).
Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA).
Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM), *
Persatuan Industri Buku Bumiputera Malaysia (PIBM),
Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM).
Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM).
Malah sekarang ini pun ramai penulis sudah berjinak jinak dengan industri penerbitan atau menjual buku sendiri menerusi pelbagai platform media sosial.
Secara umumnya kata Mohd. Khair, harga buku di negara ini masih mampu milik dan bukan barangan mewah.
“PBAKL sebenarnya menjadi cabaran kepada pemain industri buku supaya bijak beradaptasi mendepani isu dan cabaran berdasarkan keadaan semasa termasuklah munculnya teknologi kecerdasan buatan (AI), dan media sosial.
“(Maka) saya melhat PBAKL 2026 lambang masa depan dunia perbukuan memberangsangkan tetapi penerbit perlu beradaptasi dengan perkembangan semasa,” kata beliau.
Beliau berharap semua pihak sanggup berkorban masa dan wang ringgit melabur untuk mengunjungi PBAKL sepanjang 10 hari tersebut.
“Masa depan bangsa cerah apabila masyarakatnya membaca bagi menanamkan tekad, memperkaya minda dan berdaya tahan, maka membacalah ubat mujarab,” ujarnya.
Keseluruhannya, PBAKL 2026 menghimpunkan idea, inspirasi dan generasi masa depan dalam satu perayaan besar—Malaysia Membaca, Merayakan Buku.- UTUSAN









