Kejayaan pelajar UiTM Mohamad Syafiq buktikan mampu berjaya

Panahan kejayaan Mohamad Syafiq buktikan pelajar-atlet mampu cipta kejayaan

Mohamad Syafiq buktikan pelajar-atlet mampu cipta kejayaan antara bidang sukan dan akademik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Semangat juang tinggi dan disiplin luar biasa menjadi kunci kejayaan buat atlet memanah negara, Mohamad Syafiq Md. Ariffin, 26, dalam mengimbangi tuntutan akademik dan karier sukan sehingga berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains Sukan (Kepujian), Fakulti Sains Sukan & Rekreasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Anak kelahiran Terengganu itu berkata, minatnya terhadap sukan memanah bermula seawal usia 10 tahun.

Bermula sebagai wakil sekolah rendah, bakatnya terus berkembang apabila terpilih mewakili negeri dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) sebelum melayakkan diri ke pasukan kebangsaan.Menurutnya , perjalanan dalam sukan memanah bukanlah sesuatu yang mudah, namun minat mendalam serta peluang untuk pergi lebih jauh mendorongnya untuk untuk terus memberi komitmen penuh dalam sukan tersebut.

“Pada mulanya saya aktif seperti pelajar lain, tetapi apabila nampak potensi untuk mewakili negeri dan seterusnya negara dalam memanah, saya memilih untuk fokus kepada sukan ini,” katanya selepas Istiadat Konvokesyen Ke-104 di UiTM Shah Alam baru-baru ini.

Sepanjang penglibatan dalam arena memanah, Mohamad Syafiq telah melakar pelbagai kejayaan membanggakan.

Pada penyertaan pertamanya di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak, dia berjaya meraih beberapa pingat gangsa. Pada edisi seterusnya pula, beliau mencatat pencapaian lebih cemerlang dengan merangkul satu pingat emas dan dua pingat perak.

Di peringkat antarabangsa, Mohamad Syafiq turut mencipta nama apabila membantu skuad negara meraih pingat gangsa berpasukan di Sukan Asia Hangzhou 2023.

Selain itu, pasukan memanah compound negara turut menghadiahkan pingat emas pada temasya Sukan SEA Thailand 2025, selain beberapa lagi pencapaian membanggakan dalam kejohanan antarabangsa lain.

Berkongsi mengenai cabaran sebagai pelajar dan atlet, Mohamad Syafiq mengakui pernah melanjutkan tempoh pengajian sekali akibat komitmen latihan dan pertandingan yang padat.

Dia menamatkan pengajian di UiTM dengan CGPA 2.9.

Baginya, kejayaan menamatkan pengajian adalah pencapaian yang amat bermakna walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Yang penting tamat dan berjaya menamatkan pengajian. Atlet pelajar memang kena kental sikit sebab perlu bijak urus masa antara kelas dan latihan,” ujarnya.

Mohammad Syafiq berkata, rutin hariannya biasanya diisi dengan menghadiri kelas pada waktu pagi sebelum menjalani sesi latihan intensif pada waktu petang, sekali gus menuntut tahap kesabaran dan ketahanan mental yang tinggi.

Mengulas mengenai persiapan akan datang, Mohamad Syafiq bakal menyertai World Cup Stage 3 di Antalya, Turki pada awal bulan hadapan, sebelum memberi tumpuan kepada temasya besar di Jepun pada Oktober nanti.

Mengakhiri perkongsian, dia menitipkan pesanan ringkas namun penuh makna kepada pelajar-atlet lain agar sentiasa tabah mengejar impian.

“Teruskan berjuang. Atlet pelajar perlu kuat dan sentiasa percaya usaha yang dibuat hari ini akan membuahkan hasil pada masa hadapan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN