PETALING JAYA: Pelakon, Puteri Aishah mempertahankan bakat lakonan Nabila Huda selepas timbul komen yang mempertikaikan kemampuan pelakon itu.
Puteri Aisyah atau Puteri Aisyah Azman, 32, tidak bersetuju dengan pandangan individu di media sosial yang mengatakan lakonan anak kepada penyanyi Rock, Amy Search hanya di tahap biasa.
“Tidak, dia seorang yang sangat berbakat. Tidak ramai orang yang boleh berlakon atas pentas sebegitu,” katanya menerusi satu hantaran komen di Threads.
Puteri Aisyah yang juga pelakon Pulang menegaskan tidak ramai yang mempunyai keupayaan untuk memberikan persembahan yang baik di atas pentas.
“Dia mempunyai kehadiran pentas yang sangat tinggi dan tidak semua orang memilikinya,”ujarnya.
Tambahnya, dia sendiri pernah bekerja dalam satu babak bersama Nabila sebelum ini.
Menurutnya, Nabila mampu bertukar emosi dengan pantas ketika menjayakan sesuatu babak.
“Dia boleh bergelak dan sebaik sahaja penggambaran bermula, dia terus menangis begitu sahaja.
“Setiap dialog yang diberikan, saya boleh rasa emosi itu,” jelasnya.
Dalam masa sama, Puteri Aisyah meminta supaya tidak mudah mempertikai kemampuan seseorang pelakon.
“Kalau tidak pernah berlakon di atas pentas atau di set penggambaran, jangan cepat menghukum,” katanya.
Terdahulu, Nabila Huda memuat naik persembahan teater bahasa Inggeris pertamanya dan memenangi kategori Persembahan Terbaik dalam Peranan Pembantu di Anugerah Seni BOH Cameromanian ke-21.
Susulan itu, timbul satu komen yang menyangkal kebolehan pelakon berusia 42 tahun itu kerana menganggap lakonannya tidak natural dan gagal menjiwai watak. – UTUSAN










