Misi GSF 2.0 buka mata dunia terhadap kekejaman Israel

Misi GSF 2.0 buka mata dunia terhadap kekejaman Israel

Salah seorang aktivis GSF 2.0 yang cedera semasa dalam tahanan tentera Israel mendapat rawatan semasa tiba di Istanbul, Turkiye. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 berjaya membuka mata dunia terhadap kekejaman Israel walaupun semua aktivisnya termasuk 29 yang terdiri daripada rakyat negara ini ditahan tenteranya sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sany Araby Abdul Halim Araby berkata, malah misi berkenaan biarpun rumit, turut berjaya mengundang kecaman di peringkat global ter­utama dengan tindakan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir.

Justeru, beliau berharap kekejaman Israel yang kini terbukti termasuk dengan penahanan aktivis dapat dibawa ke muka pengadilan termasuk di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Dunia kini mula membuka mata terhadap apa yang berlaku di Gaza dan layanan terhadap aktivis kemanusiaan.

“Tekanan antarabangsa­ se­makin meningkat dan ma­syarakat dunia mula menuntut keadilan terhadap tindakan Israel. Misi ini menang dengan dunia bangkit dan buat sekatan pada Israel termasuk lima waran tangkap yang dikeluarkan ICC,” katanya semalam.

SANY ARABY ABDUL HALIM ARABY

Semua aktivis GSF 2.0 termasuk 29 rakyat Malaysia dilaporkan telah dibebaskan oleh rejim Zionis. Mereka sebelum ini ditahan di Penjara Ketziot di seksa tentera Israel sehingga puluhan daripada mereka patah tulang rusuk, selain direnjat dengan peranti elektrik.

Kesemua daripada mereka telah dipindahkan dari Israel dan tiba di Istanbul dengan menggunakan penerbangan tajaan khas Kerajaan Turkiye dengan nombor penerbangan TK6919, TK 6921 dan TK6925 tengah malam tadi (waktu Malaysia)

Delegasi Malaysia akan bertolak pulang ke tanah air hari ini dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Ahad.

Penjara Ketziot ialah penjara kontroversi dan terbesar di Israel yang ditubuhkan sejak 1988.

Dalam pada itu, Sany Araby berkata, misi tersebut juga disifatkan ‘menang’ dengan kebangkitan dan kesedaran lebih banyak pihak terhadap kekejaman Israel.

Ditanya mengenai misi Pergerakan Misi Konvoi Darat Glo­bal Sumud (GSF), Sany Araby tidak memberi sebarang reaksi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN