IPOH: MIC menghormati keputusan Perikatan Nasional (PN) jika gabungan berkenaan tidak lagi memberi ruang kepada parti itu untuk menjadi sebahagian daripada kerjasama politiknya.
Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran berkata, sebelum ini parti itu menyatakan kesediaan untuk menyertai PN ketika gabungan tersebut diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bagaimanapun katanya, tiada sebarang keputusan dimuktamadkan ketika itu.
“Kita tidak menolak PAS atau mana-mana parti, tiada masalah. Cuma mandat yang diberikan oleh akar umbi adalah berdasarkan kepimpinan ketika itu.
“Jadi kita perlu kembali kepada mereka untuk mendapatkan keputusan dan sekarang mereka (PN) pula menyatakan bahawa permohonan itu tiada lagi, tidak mengapa, tiada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Keluarga sempena Ulang Tahun MIC ke-80 di Taman D.R Seenivasagam di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M. Ramasamy.
Pada 17 Mei lalu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan menerima MIC sebagai parti anggota PN, kini tidak lagi relevan dan terbatal susulan ketiadaan pengesahan parti itu menyertai gabungan tersebut.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung pada bulan yang sama.
Sementara itu, mengulas sama ada MIC akan terus bersama Barisan Nasional (BN), Vigneswaran menegaskan parti itu kekal bersama gabungan berkenaan pada masa ini.
Katanya, keutamaan MIC ketika ini adalah membabitkan perjuangan parti bukannya berkaitan isu kerusi mahupun jawatan.
“Kerusi memang penting, tetapi tidak sepenting jawatan. Kita tidak ada jawatan pun kita tidak merajuk. Kita dah cakap, kita tidak perlukan jawatan.
“Sejak 1946 pun kita sudah berkhidmat tanpa bergantung kepada jawatan. Sekarang MIC boleh bekerja tanpa jawatan. Yang penting ialah hak semua kaum dipelihara dan dijamin,” katanya. – UTUSAN










