PETALING JAYA: Malaysia menggesa semua pihak untuk mencapai satu rangka perjanjian inklusif yang mengukuhkan gencatan senjata sedia ada serta memastikan laluan Selat Hormuz selamat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjanjian ini turut menangani kepentingan keselamatan yang sah bagi semua negara di rantau tersebut.
Beliau berkata, Malaysia bersedia untuk menyokong sebarang usaha pelbagai hala yang menyumbang kepada keamanan dan kestabilan berkekalan di Asia Barat.
“Saya telah menerima petanda menggalakkan daripada para pemimpin di Asia Barat bahawa rundingan ke arah satu rangka perjanjian antara Amerika Syarikat dan Iran, termasuk pembukaan semula Selat Hormuz, sedang bergerak ke arah yang positif.
“Saya melihat perkembangan ini dengan penuh keyakinan dan optimisme yang serius.
Malaysia mengambil maklum peranan konstruktif yang dimainkan oleh Bahrain, Mesir, Jordan, Oman, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Türkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam memudahkan proses ini.
“Kita juga mengalu-alukan penglibatan peribadi Presiden AS, Donald Trump dalam usaha mencapai penyelesaian melalui rundingan. Kita berharap semua pihak akan merebut peluang ini dan meneruskan rundingan sehingga mencapai hasil yang berjaya.
“Kita menggesa semua pihak untuk mencapai satu rangka perjanjian inklusif yang mengukuhkan gencatan senjata sedia ada, memastikan laluan selamat melalui Selat Hormuz, serta menangani kepentingan keselamatan yang sah bagi semua negara di rantau tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Trump mendakwa majoriti perjanjian damai dengan Iran hampir selesai dirunding, disahkan kedua-dua negara serta Pakistan yang bertindak sebagai pihak pengantara.
Trump menerusi hantaran di media sosial semalam berkata perjanjian sedang dirangka itu akan membuka semula Selat Hormuz.
Bagaimanapun, Trump tidak mendedahkan butiran terperinci yang terkandung dalam perjanjian berkenaan dan beliau mendakwa aspek dan butiran akhir perjanjian itu sedang dibincangkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat. – UTUSAN










