Lelaki warga emas maut, isteri parah disamun - Utusan Malaysia

Lelaki warga emas maut, isteri parah disamun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUAS: Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya parah dalam kejadian samun di sebuah rumah di Jalan Melayu, Ayer Tawar di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, maklumat kejadian itu dilaporkan oleh orang awam pada pukul 5.30 pagi.

Katanya, pasukan siasatan yang pergi ke lokasi kejadian mendapati pasangan tersebut telah diserang oleh seorang lelaki hingga mengalami kecederaan serius.

“Kedua-dua mangsa cedera parah akibat dipukul dengan objek keras. Suspek kemudian melarikan dua unit telefon bimbit dan beg duit milik mangsa” katanya di sini hari ini.

Menurut Hasbullah, jiran mangsa yang terdengar bunyi bising, datang membantu dengan membawa pasangan suami isteri itu ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan.

Bagaimanapun katanya, mangsa lelaki berusia 84 tahun disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan.

“Hasil risikan dan maklumat yang diperoleh, sepasukan polis daripada Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung berjaya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun pada hari sama kira-kira pukul 7.45 malam.

“Turut dirampas beberapa barangan milik mangsa yang dipercayai dilarikan suspek dalam kejadian tersebut,” katanya.

Tambah beliau, suspek telah dibawa ke IPD Manjung dan ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Manjung di talian 05-688 6222 atau hotline WhatsApp 017-682 8005,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN