LANGKAWI: Seorang pekerja aktiviti sukan air dikhuatiri hilang apabila dipercayai terjatuh ke laut ketika cuba menyelamatkan sebuah jetski yang hanyut di Pantai Tengah, di sini, petang semalam.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abdul Ghani berkata, mangsa berusia 23 tahun dipercayai tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian.
“Kami menerima panggilan mengenai insiden tersebut kira-kira pukul 9 malam tadi mengenai seorang lelaki dikhuatiri lemas semasa cuba menyelamatkan sebuah jetski yang hanyut.
“Semasa kejadian, keadaan ombak dilaporkan terlalu kuat sehingga mangsa tercampak ke laut dan hilang daripada pandangan,” katanya di sini, hari ini.
Mohd Zamri berkata, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra bersama sebuah jentera telah digerakkan untuk melakukan pemantauan di pesisir pantai.
Tambahnya, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pula akan memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula awal pagi ini. – UTUSAN









