KUALA LUMPUR: Pimpinan PKR Pusat perlu mempertimbangkan cadangan untuk memecat atau setidak-tidaknya mengenakan tindakan ke atas ahli Parlimen parti itu yang hadir semasa pelancaran Parti Bersama Malaysia, baru-baru ini.
Exco Ahli Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Dzul Hilmi Zainol berkata, pihaknya merasakan PKR tidak boleh ‘menyimpan’ enam ahli Parlimen ini kerana adalah rahsia terbuka bahawa mereka ini sekutu Datuk Seri Rafizi Ramli.
Katanya, mereka yang memilih untuk bersama dalam pelancaran parti baharu bersama Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad perlu menjelaskan pendirian mereka secara jujur kepada rakyat.
“Mandat yang mereka peroleh adalah atas tiket perjuangan dan kepercayaan yang diberikan oleh penyokong sebelum ini.
“Jika sudah tidak lagi sehaluan dengan perjuangan asal, maka keberanian politik sebenar bukan sekadar hadir di pentas pelancaran parti baharu, tetapi tampil menjelaskan kepada pengundi mengapa perubahan itu dibuat.
“Rakyat berhak mengetahui sama ada tindakan ini dibuat demi prinsip dan idealisme, atau sekadar percaturan politik untuk masa depan masing-masing,” katanya hari ini.
Enam ahli Parlimen PKR yang kelihatan hadir dalam majlis itu ialah Kesavan Subramaniam (Sungai Siput), Wong Chen (Subang), Datuk Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Sebelum ini, veteran DAP Tony Pua menyelar wakil rakyat yang merancang untuk menjadi calon dan menentang parti sendiri, dipercayai membabitkan 6 MP PKR tersebut.
Dalam pada itu, Dzul Hilmi berkata, politik yang matang menuntut kejujuran, bukannya bermain di dua gelanggang pada masa yang sama. Jika memilih haluan baharu, nyatakan dengan jelas. Jika masih bersama perjuangan lama, buktikan dengan tindakan.
Apa yang rakyat perlukan hari ini ialah pemimpin yang setia kepada mandat dan berani mempertahankan prinsip, bukan pemimpin yang hanya muncul apabila keadaan menguntungkan mereka. – UTUSAN










