GEORGE TOWN: Keluarga seorang pelajar berusia 17 tahun yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, November tahun lalu, menuntut penjelasan segera daripada polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC) status siasatan kes berkenaan.
Peguam mereka, RSN Rayer berkata, sehingga kini, tiada sebarang maklum balas rasmi diterima walaupun beberapa surat telah dihantar kepada pegawai penyiasat dan pihak pendakwaan negeri bagi mengetahui perkembangan kes terbabit.
“Kita hanya mahu tahu apakah hasil siasatan dan adakah sesiapa akan didakwa ataupun tiada tindakan lanjut akan diambil. Keluarga mangsa berhak mendapat jawapan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Kemalangan pada 13 November 2025 itu dipercayai berlaku apabila mangsa, Jason Lee Jia Cheng yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika itu dalam perjalanan pulang selepas membeli makanan tengah hari.
Susulan kemalangan tersebut iaitu pada 6 Februari lalu, keluarga mangsa dilaporkan telah membuat rayuan kepada Jabatan Peguam Negara dan polis agar pendakwaan terhadap pemandu bas terlibat disegerakan.
Rayer berkata, surat pertama dihantar kepada pegawai penyiasat pada 24 November tahun lalu manakala dua lagi surat berkaitan masing-masing dihantar kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang pada 13 Januari dan 19 April lalu.
“Malangnya, ketiga-tiga surat itu langsung tidak dijawab sehingga hari ini. Persoalannya, kenapa siasatan mengambil masa begitu lama dan kenapa keluarga tidak dimaklumkan mengenai perkembangan kes?” soal beliau.
Rayer berkata, pada masa ini, keluarga mangsa masih menanggung kesedihan dan tekanan emosi berikutan kehilangan anak mereka yang disifatkan tekun membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan SPM ketika itu.
Tambah beliau, sekiranya masih tiada maklum balas diterima selepas ini, pihaknya bercadang untuk membangkitkan isu tersebut pada persidangan Parlimen akan datang bagi mendapatkan penjelasan rasmi daripada pihak berkuasa.
Sementara itu, ibu mendiang, Marcia Lau Cheng Li mendakwa, keluarganya hanya pernah dipanggil menghadiri satu pertemuan bersama wakil syarikat pengendali bas berkenaan, namun, tiada perkembangan lanjut selepas itu.
“Kami sudah menunggu hampir enam bulan. Penantian ini satu penyeksaan kepada keluarga kami. Anak saya layak mendapat keadilan,” katanya. – UTUSAN










