Keluarga guna hasil sawit beli dadah untuk anak - Utusan Malaysia

Keluarga guna hasil sawit beli dadah untuk anak

SEBAHAGIAN penagih menunggu giliran untuk diambil sampel darah bagi mengenal pasti penyakit yang dihidapi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Ada keluarga di kawasan tanah rancangan Felda sanggup memperuntukkan hasil satu petak sawit kira-kira RM400 sebulan untuk menampung keperluan ketagihan dadah anak-anak mereka.

Pendekatan ‘mengawal dari dalam’ kononnya dengan harapan si penagih tidak mencuri atau mengganggu jiran tetangga bagi mendapatkan wang, merupakan penyumbang utama kepada isu penagihan sejak bertahun-tahun lamanya.

Wakil Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (Komited), Norsabri Noordin mendedahkan, hasil jualan sawit itu digunakan secara konsisten untuk membeli bahan terlarang seperti ganja, heroin, morfin dan syabu.

Katanya, langkah ‘membiayai’ keperluan penagih merupakan satu bentuk normalisasi penyalahgunaan dadah yang perlu dinoktahkan.

“Mereka fikir dengan beri duit hasil sawit, anak tidak mencuri. Tetapi ini bukan penyelesaian. Ia hanya menambah parah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, penagihan dadah di kawasan tanah rancangan Felda bukan sekadar berpunca daripada pengaruh luar, tetapi juga budaya dalaman yang terbentuk sejak bertahun-tahun.

Malah, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah turut menzahirkan kebimbangan baginda terhadap masalah dadah di situ dan tidak mahu kawasan tanah rancangan terus dijadikan ‘sarang’ dadah.

Selain itu, difahamkan penjualan dadah di kawasan tanah rancangan didakwa berleluasa kerana dilindungi pihak tertentu yang menjadikan Felda ‘port’ menjual bahan terlarang tersebut.

Norsabri berkata, keadaan itu mencerminkan betapa seriusnya masalah penagihan dadah di kawasan tanah rancangan Felda.

Sementara itu, seorang penagih yang ingin dikenali sebagai Yo, 28, menyatakan hasrat untuk berubah dan kembali ke pangkuan masyarakat dengan menyertai program pengurangan kemudaratan yang dilaksanakan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Yo mengakui, selepas hampir sedekad bergelumang dengan najis dadah, dia sedar bahawa hidupnya semakin terjerumus ke arah kehancuran dan ingin mencari jalan keluar.

“Saya tidak mahu terus hanyut. Saya mahu pulih dan bina semula masa depan. Program ini memberi peluang mendapatkan rawatan metadon, kaunseling dan sokongan komuniti. Saya rasa lebih yakin kerana ada pihak sudi membantu tanpa menghakimi,” ujarnya.

Yo berkata, stigma masyarakat menjadi cabaran besar, namun dia berharap dengan sokongan keluarga dan komuniti, proses pemulihan akan lebih lancar.

“Saya mahu buktikan bahawa golongan penagih juga boleh berubah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN