PUTRAJAYA: Pelakon, Shiqin Kamal, mengakui sanggup melakukan sebarang perubahan fizikal termasuk membotakkan kepala sekiranya diperlukan bagi menjayakan sesuatu watak.
Menurut Shiqin, sebagai anak seni, dia tidak pernah meletakkan batas terhadap pengorbanan yang perlu dilakukan demi memberikan persembahan terbaik kepada penonton.
“Rambut boleh tumbuh semula, jadi bagi saya tiada masalah. Kalau ada karya yang memerlukan saya membotakkan kepala, contohnya untuk membawa watak pesakit kanser, saya bersedia sepenuhnya.
“Saya memang tiada masalah untuk mengubah imej demi karakter yang dibawa,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mengulas penampilannya dalam filem Konspirasi yang memerlukannya tampil bertudung sepenuhnya, Shiqin berkata, dia pada awalnya berasa skeptikal dengan idea yang diketengahkan pengarah, Ghaz Abu Bakar.
Katanya, imej asal watak Ili yang dibawanya adalah berambut pendek dan lebih sinonim dengan karakter wanita dalam filem aksi.
“Masa awal perbincangan, imej Ili adalah seorang wanita berambut pendek. Biasanya watak perempuan dalam filem aksi memang menampilkan rambut dan gaya lasak yang lebih terbuka.
“Tetapi apabila Ghaz mencadangkan saya memakai tudung, saya agak terkejut juga,” katanya.
Shiqin berkata, dia pada mulanya bimbang penonton mungkin berasa janggal melihat kelainan tersebut memandangkan imej wanita bertudung jarang diketengahkan dalam filem aksi tempatan.
“Saya sebenarnya skeptikal pada awalnya. Saya takut orang tidak mahu menonton atau merasakan ia pelik kerana lari daripada kebiasaan filem aksi.
“Bagaimanapun, Ghaz berjaya meyakinkan saya bahawa ia akan menjadi sesuatu yang menarik dan saya mungkin menjadi antara pelakon wanita pertama membawa watak aksi bertudung seperti itu,” ujarnya.
Tambah pelakon itu, keyakinan yang diberikan pengarah berkenaan membuatkan dia lebih percaya terhadap pembentukan karakter tersebut.
Malah, sepanjang tahun lalu, kebanyakan tawaran drama dan telefilem yang diterimanya juga memerlukan dia tampil berhijab.
“Apabila sesebuah karya masuk ke layar perak, kita tahu harapan penonton sangat tinggi. Tetapi selepas berbincang, saya meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pengarah.
“Ternyata, imej itu memberi kelainan kepada watak Ili,” katanya lagi.
Filem Konspirasi mengisahkan usaha sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani serangan siber serta kegiatan rasuah berskala besar.
Naskhah arahan Ghaz Abu Bakar itu turut dibintangi Adi Putra, Hisyam Hamid dan Alicia Amin, dan mula ditayangkan di pawagam sejak 21 Mei lalu.










