KAF Investment Funds lancar dana ekuiti islam global baharu

KAF Investment Funds lancar dana ekuiti islam global baharu

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: KAF Investment Funds Berhad (KIFB) melancarkan produk terbaharunya, KAF Global Islamic Equity Fund (KGIEF) dengan pelaburan minimum permulaan sebanyak RM1,000, manakala pelaburan tambahan minimum ditetapkan pada RM100.

Dana itu direka bagi menyediakan pendedahan strategik kepada pelabur terhadap ekuiti patuh syariah yang berpotensi berkembang di pasaran maju dan sedang pesat membangun, sekali gus melangkaui sempadan domestik untuk memanfaatkan kisah inovasi global.

Ketua Pegawai Eksekutif KAF Investment Funds Berhad, Mohammad Fariz Ahmad Shamsuddin berkata, kepelbagaian pelaburan kekal penting dalam strategi pelaburan seimbang ketika landskap ekonomi global terus berubah.

“KGIEF direka untuk membantu pelabur mengurus risiko domestik dengan memanfaatkan tema pertumbuhan struktur yang sedang membentuk semula ekonomi global.

“Melalui pendedahan kepada peneraju pasaran global dalam kerangka syariah, kami memberi akses kepada pelabur terhadap megatrend seperti revolusi digital dan hijau yang sedang mengubah penciptaan kekayaan global.

“Fokus kami kekal kepada penyampaian peningkatan modal jangka panjang menerusi pelaburan berdisiplin dan berkeyakinan tinggi,” katanya dalam kenyataan.

KGIEF disasarkan kepada pelabur yang mencari kepelbagaian geografi lebih luas serta peluang pertumbuhan global.

Beliau berkata, dana itu bertujuan meningkatkan potensi pertumbuhan portfolio menerusi akses kepada trend struktur jangka panjang yang sedang mengubah ekonomi dunia.

“Ia termasuk Kecerdasan Buatan (AI), kenderaan elektrik (EV), peralihan tenaga, inovasi perisian dan perubahan landskap pengguna.

“Tema berkenaan dilihat mampu melengkapi pegangan domestik sedia ada pelabur menerusi pendedahan kepada peluang transformasi jangka panjang,” katanya.

Melalui peruntukan strategik itu, KIFB menyasarkan untuk menyokong pertumbuhan ekosistem pasaran modal Islam dengan menyediakan pendedahan kepada syarikat global yang mempunyai kepimpinan pasaran kukuh.

Ia seperti NVIDIA Corporation, Microsoft Corporation dan Taiwan Semiconductor Manufacturing Company Limited (TSMC), sambil kekal mematuhi prinsip syariah sepenuhnya.

Ia sekali gus membuka laluan kepada pelabur untuk menyertai sektor yang membentuk masa depan seperti teknologi, penjagaan kesihatan dan barangan pengguna.

Mohammad Fariz berkata, dana itu disasarkan kepada pelabur yang mencari peluang patuh syariah dalam pasaran global maju dan sedang membangun.

“Ini khususnya mereka yang mempunyai toleransi risiko sederhana hingga tinggi serta memberi tumpuan kepada peningkatan modal jangka panjang.

“Penanda aras dana ini ialah Dow Jones Islamic Market World Index dalam denominasi ringgit.

“Pelabur boleh melanggan dana itu secara dalam talian menerusi KAF eUnitTrust atau melalui perunding unit amanah berdaftar KIFB dan Phillip Mutual Berhad,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN