PETALING JAYA: Purata pemilik kediaman di Malaysia menyaksikan nilai hartanah mereka meningkat lebih dua kali ganda sejak tahun 2010, dengan Johor merekodkan pertumbuhan harga paling tinggi berbanding negeri-negeri lain.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, dapatan tersebut diperoleh menerusi analisis data selama 15 tahun daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
Katanya, purata harga rumah di Johor melonjak lebih tiga kali ganda dalam tempoh berkenaan, iaitu daripada RM162,136 pada 2010 kepada RM487,128 ketika ini.
“Data ini menjadi bukti kukuh bahawa lokasi yang dipilih oleh rakyat Malaysia untuk membeli rumah memberikan impak yang sangat besar kepada pulangan pelaburan mereka.
“Secara puratanya di seluruh negara, pemilik rumah telah menambah kira-kira RM290,000 kepada nilai kekayaan bersih mereka hanya melalui peningkatan nilai hartanah, di mana purata harga rumah nasional meningkat daripada RM218,000 kepada RM508,000 dalam tempoh 15 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Menurut analisis tersebut, negeri yang mencatatkan pertumbuhan nilai terpantas dari segi peratusan sejak 2010 mengikut turutan ialah Johor, Kedah, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan dan Perlis, yang mana setiap negeri ini menyaksikan nilai rumah meningkat sekurang-kurangnya 2.4 kali ganda.
Meskipun kadar peratusan peningkatan di Kuala Lumpur (KL) adalah lebih rendah berbanding Johor, pasaran ibu kota itu mencatatkan lonjakan nilai dalam bentuk nilai ringgit yang paling tinggi di Malaysia disebabkan harga permulaannya yang sedia tinggi pada 2010.
Purata harga rumah di KL melonjak daripada sekitar RM396,000 kepada RM827,000, memberikan keuntungan modal sekitar RM431,000 kepada pemiliknya.
Mengulas mengenai unjuran pasaran untuk tempoh 15 tahun akan datang, Kashif melihat trend ‘the great catch-up’ atau fasa mengejar kelompok atas akan berlaku, menyaksikan negeri yang menawarkan harga rumah mampu milik mula merapatkan jurang dengan kawasan matang seperti KL.
“Peluang terbesar berkemungkinan berada di negeri yang harga rumahnya masih jauh di bawah purata nasional, tetapi merekodkan pertumbuhan yang pantas dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Sebagai contoh, pasaran di Kelantan dan Kedah telah melonjak sebanyak 49 peratus sejak 2019, manakala Perlis mencatatkan pertumbuhan tahunan terpantas dalam tempoh 12 bulan lalu sebanyak 7.2 peratus. Negeri seperti Melaka dan Perak turut mendapat manfaat daripada trend harga rendah dan pertumbuhan pantas ini,” katanya.
Tambahnya, analisis data itu membuktikan bahawa pemilikan hartanah di mana-mana sahaja di Malaysia merupakan keputusan kewangan yang baik untuk jangka panjang memandangkan tiada petunjuk trend peningkatan itu akan berubah. –UTUSAN










