Penduduk di kawasan Bukit Antarabangsa terus menikmati pelbagai usaha penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohd. Kamri Kamaruddin, khususnya dalam aspek
kesejahteraan rakyat, pembangunan infrastruktur dan keselamatan kawasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohd. Kamri Kamaruddin meninjau projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama Timur (EKVE) Seksyen 2, baru-baru ini.
Menurut Mohd. Kamri, fokus utama pentadbirannya sejak mengambil alih kawasan itu adalah untuk memastikan masalah yang sekian lama membelenggu penduduk dapat diselesaikan secara berperingkat dan tersusun.
Antara isu utama yang berjaya diberi perhatian serius adalah pembinaan sekolah baharu di kawasan Ukay Perdana yang lama dinantikan penduduk setempat.
Katanya, kawasan itu yang mempunyai penduduk mencecah hampir 80,000 orang sebelum ini tiada sekolah menengah kerajaan mencukupi.
Isu itu, katanya, sudah dibangkitkan sejak lebih dua dekad lalu namun masih belum dapat direalisasikan disebabkan beberapa kekangan teknikal dan pentadbiran.
Beliau menjelaskan, tanah asal yang diserahkan oleh pemaju kepada kerajaan sebelum ini didapati tidak sesuai untuk pembinaan sekolah kerana di kawasan bercerun dan berisiko.
“Kebanyakan tanah yang digazetkan bagi kegunaan awam seperti sekolah dan klinik kesihatan di kawasan itu turut berdepan masalah sama. Bagaimanapun, hasil usaha rundingan bersama pelbagai pihak, sebahagian tanah milik pemaju berjaya diperoleh dan digabungkan dengan tanah milik bomba bagi tujuan pembinaan sekolah baharu.
“Proses penyusunan semula status tanah itu membolehkan kawasan berkenaan akhirnya diluluskan sebagai tapak pembinaan sekolah,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Mohd. Kamri yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkata, pihak kementerian pada asasnya bersetuju dengan cadangan tersebut dan hanya menunggu beberapa proses kelulusan akhir termasuk kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan.


Selain pendidikan, Mohd. Kamri turut memberi tumpuan serius terhadap isu keselamatan cerun dan tanah runtuh yang sebelum ini sering menghantui penduduk Bukit Antarabangsa. Sejak memegang amanah sebagai wakil rakyat kawasan itu, fokus utamanya adalah memastikan cerun-cerun berisiko dikenal pasti dan distabilkan segera.
Katanya, kerjasama erat bersama pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan kerajaan negeri membolehkan beberapa langkah mitigasi dilaksanakan secara lebih agresif.
Beliau memaklumkan bahawa cerun melibatkan tanah milik kerajaan diberikan perhatian segera melalui kerja-kerja penyelenggaraan dan pengukuhan struktur.
“Bagi tanah persendirian pula, notis dikeluarkan kepada pemilik terlibat supaya tindakan penstabilan cerun dilakukan segera demi keselamatan penduduk sekitar.
“Banyak kawasan yang sebelum ini dikenal pasti berisiko kini berada dalam keadaan lebih terkawal dan selamat,” katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya turut menggunakan laporan kajian daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi mengenal pasti kawasan berbahaya serta memaklumkan risiko kepada pemilik tanah berkaitan.
“Hasil usaha berterusan itu, kejadian tanah runtuh besar di kawasan Bukit Antarabangsa berjaya dikurangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Walaupun masih berlaku kejadian kecil melibatkan cerun, tindakan segera akan diambil dengan mengarahkan pemilik tanah menjalankan kerja pembaikan sebelum keadaan menjadi lebih serius,” tambahnya.
Dalam aspek kebajikan rakyat pula, Mohd. Kamri berkata, pelbagai bantuan terus disalurkan kepada golongan memerlukan melalui program kerajaan negeri dan pusat khidmat masyarakat.
Beliau memaklumkan lebih 20 program kebajikan dilaksanakan berterusan termasuk bantuan kebajikan warga emas dan barangan asas ketika musim perayaan. Antara bantua disalurkan kerusi roda, katil hospital, bantuan rawatan dan sokongan kepada pesakit terlantar.
Pada masa sama, beliau turut memantau perkembangan projek Lebuhraya Bertingkat Lingkaran Luar Timur atau EKVE yang menjadi antara projek infrastruktur penting kepada penduduk kawasan itu.
Beliau berkata, jajaran Seksyen 1 dari Sungai Long ke Ampang telah siap dan dirasmikan sebelum ini, manakala Seksyen 2 dari Ampang ke Ukay Perdana masih mengalami sedikit kelewatan.
Menurutnya, kelewatan itu berpunca daripada beberapa isu kewangan melibatkan syarikat konsesi serta urusan pembiayaan projek.
Bagaimana pun, beliau berharap sasaran baharu untuk menyiapkan projek berkenaan penghujung tahun ini dapat dicapai kerana ia memberi impak besar kepada aliran trafik penduduk setempat.
Selain itu Mohd. Kamri berkata, rundingan bersama pihak EKVE sebelum ini turut berjaya mempercepatkan pembukaan satu laluan ramp penting di Ukay Perdana.
Katanya, pembukaan laluan itu berjaya mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sebelum ini menyebabkan penduduk terpaksa berdepan perjalanan sehingga hampir 40 minit pada waktu puncak.
Selain isu infrastruktur dan kebajikan, beliau turut memperkenalkan inisiatif rumah rawatan kucing bagi menangani masalah haiwan terbiar di kawasan itu. Kemudahan itu dibangunkan semula di Jalan Kolam Air Lama selepas perancangan asal sebelum ini tertangguh.
Menurut beliau, pusat itu dijangka mula beroperasi sekitar Jun atau Julai dan akan menjadi lokasi rawatan serta perlindungan sementara kepada kucing terbiar.
“Selepas dirawat, haiwan berkenaan akan dibawa ke kawasan awam tertentu supaya dapat dijadikan sebahagian daripada aktiviti komuniti dan dipelihara dengan lebih baik,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, beliau menegaskan, fokus pentadbirannya adalah memastikan keseimbangan antara pembangunan, keselamatan, kesejahteraan rakyat dan pemeliharaan alam sekitar terus menjadi keutamaan di Bukit Antarabangsa. –UTUSAN










