BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ibadah korban bukan sekadar tuntutan agama, malah membawa pengertian besar dalam membentuk nilai keimanan, kesabaran dan semangat pengorbanan dalam kehidupan.
Menurut Perdana Menteri, konsep korban mengajar umat Islam agar tabah menghadapi ujian hidup selain menuntut keimanan yang teguh dan ketaatan kepada Allah SWT seperti ditunjukkan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS.
“Tidak ada perjuangan dan erti kehidupan tanpa kesabaran, daya tahan dan semangat pengorbanan,” katanya ketika berucap pada Majlis Agihan Lembu Korban Perdana Parlimen Permatang Pauh di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, Bandar Perda di sini, semalam.
Anwar berkata, kekuatan ibadah korban juga terletak pada manfaatnya kepada masyarakat terutama golongan fakir miskin dan mereka yang memerlukan bantuan.
Program penyerahan sumbangan korban itu berlangsung dalam tiga siri majlis yang melibatkan beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sekitar Parlimen Permatang Pauh.
Pada majlis itu 79 lembu diserahkan kepada 10 masjid dan surau iaitu Masjid Papan Kampung Pertama, Masjid Haji Saad, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sama Gagah, Masjid Pekan Permatang Pauh, Surau Al Ihsaniah Kampung Petani, Masjid Permatang Pasir, Masjid Permatang Batu, Masjid Al Muhajirin Seberang Jaya dan Masjid Sembilang.
Katanya, amalan itu mendidik masyarakat supaya menghidupkan semangat kebersamaan serta tidak hanya mementingkan diri sendiri.
“Ibadah itu memberi manfaat kepada masyarakat. Kerana korban itu, kita adakan kegiatan ibadah, tetapi manfaatnya kepada keluarga dan masyarakat. Jadi, apabila ada ujian daripada Allah SWT, kita terima sebagai ujian yang menuntut kesabaran,” katanya.
Anwar turut mengingatkan umat Islam supaya menghayati setiap ibadah melalui amalan kebajikan, sedekah dan sumbangan kepada masyarakat demi memperkukuh hubungan sesama insan.
Terdahulu pada Majlis Agihan Perdana Lembu Korban Madani Parlimen Permatang Pauh di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, semalam, Anwar berkata, hubungan diplomatik kukuh Malaysia dengan Iran membantu memastikan laluan penghantaran minyak negara melalui Selat Hormuz kekal terjamin susulan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
Katanya, beliau dijangka menerima panggilan telefon daripada Presiden Iran pada pukul 6 petang ini (semalam) dan menyifatkan komunikasi itu sebagai sebahagian daripada hubungan berterusan Malaysia dengan negara tersebut ketika ketidaktentuan geopolitik sedang berlaku.
“Bila kita agak susah, kapal kita dan minyak kita mahu lalu Selat Hormuz, kita antara yang terawal dapat lepas dan sampai ke Pengerang. Sekarang minyak di Malaysia masih mencukupi. Ada negara lain yang sudah mula beratur di stesen minyak dan ada yang terpaksa menutup operasi,” katanya.
Perdana Menteri berkata, hubungan berterusan turut membawa manfaat praktikal dalam memastikan laluan bekalan bahan api negara melalui Selat Hormuz yang strategik terus terpelihara.
Beliau turut mengulangi jaminan bahawa bekalan petrol RON95 dan diesel negara kekal mencukupi sekurang-kurangnya untuk tempoh sehingga Julai ini meskipun ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat masih memberi tekanan kepada rantaian bekalan global ketika ini.
Walaupun berlaku sedikit kenaikan harga akibat kos insurans dan tambang kapal yang meningkat, kerajaan tetap mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter demi menjaga kebajikan rakyat.
“Setakat yang kita mampu, RON95 kekal RM1.99. Beritahu negara mana yang lebih murah daripada Malaysia selain Brunei? Diesel walaupun naik, kita bantu melalui pelbagai inisiatif seperti Budi Madani untuk petani, nelayan, pengusaha traktor, bas sekolah dan sektor pengangkutan,” katanya. – UTUSAN










