SHAH ALAM: Peserta program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), Hussain Jamilul Hayat menafikan dakwaan pasukan pengurusannya bersikap dingin dan sukar memberikan kerjasama.
Bagaimanapun, Hussain berkata, spekulasi itu mungkin timbul disebabkan dirinya yang masih bersikap malu-malu selain cenderung memikul segala kritikan seorang diri.
“Dakwaan itu tidak benar. Cuma saya sendiri yang masih belum dapat keluar daripada perasaan malu.
“Jadi malam ini (Ahad), saya buktikan pengurus saya menjalankan tugas dengan baik, pembantu pengurus juga menjalankan tugas dengan baik, malah semua orang buat kerja masing-masing. Cuma saya sahaja yang masih belum dapat mengatasi rasa malu itu.
“Sekarang saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan industri. Memang betul, saya agak kekok sedikit dan sedang cuba memperbaiki diri.
“Saya memang marah apabila perkara yang tidak betul diperkatakan. Mereka petik nama bapa dan orang sekeliling saya, sedangkan saya sendiri yang masih belum menunjukkan peningkatan. Bapa saya hanya menjalankan tanggungjawabnya,” katanya.
Hussain berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert minggu kelima TTMM2 yang berlangsung di Auditorium MBSA, di sini, malam tadi.
Menurut Hussain, pasukannya banyak memberi idea agar dia tampil berbeza setiap minggu di pentas TTMM2, namun dirinya sendiri masih belum cukup terbuka untuk menyerlahkan potensi sebenar.
“Mereka sebenarnya banyak beri idea kepada saya. Cuma saya sendiri yang masih belum menunjukkan kemampuan sepenuhnya. Jadi kepada mereka yang menonton video atau membaca perkongsian di Threads, dakwaan tersebut tidak benar.
“Saya akui, perkara itu juga berpunca daripada diri saya yang masih segan. Tetapi apabila membaca banyak komen sebegitu, memang timbul rasa untuk berubah.
“Ada rakan yang menghantar perkongsian tersebut kepada saya. Memang saya marah sampai buat siaran langsung dan mempersoalkan siapa yang menyebarkan cerita itu,” katanya.
Dalam pada itu, Hussain enggan khabar angin berkenaan terus mengganggu fokusnya, sebaliknya mahu menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk tampil lebih baik di atas pentas.
“Secara peribadi, perkara itu tidak terlalu mengganggu mental saya. Sebaliknya, ia memberi semangat untuk saya buktikan bahawa saya mampu melakukan yang lebih baik.
“Sekarang sudah masuk minggu kelima dan bagi saya, rasa malu itu semakin hilang. ‘Urat malu’ dalam diri saya pun sudah putus. Jadi sekarang saya rasa lebih berani,” katanya.
Terdahulu, timbul dakwaan kononnya pengurus Hussain kurang disenangi segelintir pihak kerana dikatakan terlalu tegas selain sukar memberi ruang kepada media mendekati penyanyi itu bagi sesi temu bual.
Malah, terdapat juga dakwaan setiap urusan perlu melalui tapisan tertentu dan mengikut standard ditetapkan, termasuk kenyataan dipercayai dikeluarkan pihak pengurusan berbunyi, ‘we don’t do photoshoot’. – UTUSAN










