Harga minyak global dijangka berlegar sekitar AS$95 hingga AS$100

Harga minyak global dijangka berlegar sekitar AS$95 hingga AS$100

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah global dijangka berlegar dalam julat AS$95 (RM375.79) hingga AS$100 (RM395.57) setong dalam tempoh terdekat, susulan perkembangan rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang terus menunjukkan tanda-tanda positif ke arah penyelesaian.

Harga minyak mentah Brent turun 4.74 peratus kepada AS$98.63 (RM390.06) setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) turun 4.99 peratus kepada AS$91.78 (RM362.97) setong pada pukul 4 petang semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, julat harga ini dilihat sebagai paras yang sesuai dalam pasaran sekiranya rundingan berterusan dan kedua-dua pihak mencapai persetujuan yang lebih jelas, sekali gus mengurangkan risiko gangguan bekalan global.

Katanya, hala tuju harga minyak kini banyak bergantung kepada status pembukaan Selat Hormuz yang menjadi laluan strategik bagi perdagangan minyak dunia.

“Rundingan ini dilihat akan menentukan hala tuju penutupan Selat Hormuz yang sebelum ini memberi kesan kepada bekalan bahan api serta produk berkaitan baja kimia dan aluminium.

“Sekiranya rundingan mencapai perkembangan positif dan Selat Hormuz dibuka semula, penawaran bekalan bahan api global dapat dipulihkan sekali gus membantu menstabilkan harga minyak mentah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, kestabilan bekalan minyak dunia masih bergantung kepada tempoh pembukaan laluan tersebut serta persetujuan yang dicapai antara AS dan Iran.

“Jika pembukaan itu hanya bersifat sementara, harga minyak mentah dijangka kekal tinggi untuk tempoh yang lebih panjang kerana pasaran masih berdepan ketidaktentuan bekalan,” katanya.

Menurut beliau, walaupun ketegangan geopolitik di Asia Barat reda, harga minyak dijangka tidak akan turun secara mendadak dalam masa terdekat.

Katanya, konflik yang berlaku telah menyebabkan kerosakan terhadap fasiliti minyak dan gas yang memerlukan masa untuk dibaik pulih.

“Usaha pemulihan infrastruktur tenaga ini akan mengambil masa dan terus memberi tekanan kepada bekalan global, sekali gus mengekalkan harga minyak pada paras tinggi,” katanya.

Mengulas impak kepada Malaysia, Mohd. Afzanizam berkata, kenaikan harga minyak akan meningkatkan kos sara hidup serta beban subsidi kerajaan.

“Namun begitu, kedudukan makroekonomi negara yang semakin kukuh dijangka membantu menyokong prestasi ringgit berbanding dolar AS,” katanya.

Menurut beliau, harga minyak mentah sekitar AS$70 (RM276.94) setong dilihat lebih stabil dan memberi manfaat kepada semua pihak termasuk pengguna dan kerajaan.

Katanya, kebergantungan kerajaan terhadap hasil petroleum juga semakin berkurangan apabila sumbangan hasil petroleum kepada pendapatan kerajaan merosot daripada 35.4 peratus pada 2010 kepada hanya 12.5 peratus pada 2025.

Pada Sabtu, Presiden AS, Donald Trump berkata, perjanjian dengan Tehran “sebahagian besarnya telah dirundingkan” dan butiran lanjut akan diumumkan tidak lama lagi.

Namun sehari kemudian, Trump menggesa pasukan rundingannya supaya tidak tergesa-gesa memuktamadkan perjanjian tersebut.

Sebelum ini, Trump berkata, perjanjian tersebut akan merangkumi pembukaan semula laluan perkapalan strategik Selat Hormuz, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Laluan itu mengendalikan kira-kira satu perlima penghantaran minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia, secara efektif telah ditutup sejak konflik bermula pada 28 Februari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN