Hantavirus dan Kanser: Adakah pesakit lebih berisiko?

Hantavirus dan Kanser: Adakah pesakit lebih berisiko?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penularan penyakit berjangkit seperti Hantavirus membimbangkan walaupun ramai mungkin beranggapan penyakit itu hanya berlaku di luar negara dan belum ada kes di negara ini.

Bagaimanapun langkah berjaga- jaga perlu diambil terutama apabila membabitkan individu yang menghidap penyakit kronik seperti kanser dan sedang mendapatkan rawatan kerana golongan ini lebih berisiko tinggi apabila dijangkiti.

Antaranya wanita yang sedang menjalani rawatan kanser ginekologi seperti kanser ovari, kanser serviks dan kanser endometrium (rahim).

Hantavirus adalah sejenis virus zoonotik yang disebarkan melalui pendedahan kepada air kencing, najis atau air liur tikus yang tercemar.

Walaupun hantavirus jarang berlaku di Malaysia, persoalan penting timbul sama ada pesakit kanser mempunyai risiko komplikasi yang lebih tinggi sekiranya dijangkiti. Persoalan utama, adakah Hantavirus memburukkan lagi keadaan kanser?

Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi, Ginekologi Onkologi Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee berkata, setakat ini, tiada bukti saintifik menunjukkan hantavirus meningkatkan risiko pembentukan kanser termasuk kanser ginekologi.

“Berbeza dengan virus seperti HPV (Human Papillomavirus) yang diketahui berkait rapat dengan kanser serviks, Hantavirus bukan virus onkogenik. Namun begitu, pesakit kanser adalah kumpulan yang lebih rentan untuk mengalami komplikasi serius akibat jangkitan ini.

“Secara dasarnya, pesakit kanser sering mengalami penurunan sistem imun sama ada disebabkan penyakit itu sendiri atau rawatan yang diterima seperti kemoterapi, radioterapi, rawatan sasaran (targeted therapy), imunoterapi serta pembedahan besar (major operation),” katanya.

Katanya lagi, keadaan ini menyebabkan tubuh lebih sukar melawan jangkitan virus dan meningkatkan risiko komplikasi yang lebih teruk.

Kajian dalam jurnal ‘The Lancet Oncology’ menunjukkan, pesakit kanser yang mengalami jangkitan virus respiratori mempunyai kadar komplikasi dan kematian yang lebih tinggi berbanding populasi umum, terutama dalam kalangan pesakit yang sedang menerima rawatan aktif.

Walaupun data khusus Hantavirus dalam pesakit kanser masih terhad, prinsip risiko imunokompromi adalah konsisten dalam kebanyakan jangkitan virus serius.

Kesan Hantarvirus

Kesan Hantavirus kepada pesakit kanser merangkumi risiko komplikasi gangguan pernafasan yang lebih serius. Hantavirus juga boleh menyebabkan Hantavirus Pulmonary Syndrome (HPS), iaitu keadaan serius seperti rdang paru-paru.

“Radang paru-paru terjadi apabila terdapat pengumpulan cecair dalam paru-paru dan Kegagalan pernafasan. Bagi pesakit kanser yang sudah lemah daripada segi sistem imun, fizikal serta emosi akibat rawatan, komplikasi ini boleh berlaku dengan lebih cepat dan lebih serius.

“Kajian yang diterbitkan dalam Clinical Infectious Diseases melaporkan bahawa Hantavirus boleh menyebabkan kadar kematian yang tinggi apabila berlaku kegagalan pernafasan akut, terutama dalam pesakit yang mempunyai masalah kesihatan lain, “ katanya.

Persoalan yang seterusnya adalah gangguan kepada jadual rawatan pesakit kanser. Jangkitan akut boleh menyebabkan keseluruhan pelan rawatan kanser tergendala.

Pesakit yang dijangkiti mungkin perlu menangguhkan kemoterapi, menunda pembedahan serta menghentikan sementara radioterapi. Dalam kanser agresif seperti kanser ovari tahap lanjut atau kanser serviks yang ganas, kelewatan rawatan boleh memberi kesan kepada kawalan penyakit dan peluang pemulihan daripada masalah kanser.

Sering kali juga pesakit akan mengalami sepsis iaitu jangkitan yang tidak terkawal ke seluruh tubuh serta kegagalan fungsi organ. Komplikasi ini boleh menjadi lebih berbahaya sekiranya pesakit juga mengalami kekurangan nutrisi, anemia atau penyakit kronik lain seperti kencing masis, darah tinggi dan sebagainya.

Dr. Mohamad Nasir berkata, kemoterapi khususnya boleh menyebabkan neutropenia iaitu keadaan sel darah putih menjadi terlalu rendah. Dalam keadaan ini, tubuh kehilangan keupayaan utama melawan jangkitan.

“Pesakit yang baru selesai menjalani pembedahan juga mempunyai risiko tambahan kerana luka pembedahan masih dalam proses penyembuhan, keadaan fizikal belum pulih sepenuhnya serta daya tahan badan lebih rendah

“Oleh itu, sebarang demam atau gejala respiratori dalam kalangan pesakit kanser perlu dianggap serius sehingga dibuktikan sebaliknya, “ katanya.

Pencegahan adalah langkah utama di dalam menghentikan penularan inkesi Hantavirus ini. Mengelakkan kawasan yang banyak tikus atau habuk tercemar, menggunakan pelitup muka serta sarung tangan getah ketika membersihkan kawasan stor atau gudang dan menjaga kebersihan rumah adalah penting.

Pesakit juga perlu mendapatkan rawatan segera jika mengalami demam, sesak nafas atau keletihan melampau.

Bagi pesakit yang sedang menjalani kemoterapi, pemeriksaan awal boleh membantu mengelakkan komplikasi yang lebih serius.

Kesimpulan, walaupun Hantavirus bukan penyebab kanser khususnya kanser ginekologi, pesakit kanser merupakan kumpulan yang lebih berisiko mengalami komplikasi serius sekiranya dijangkiti.

Kesan utama membabitkan sistem pernafasan, kegagalan organ serta gangguan kepada rawatan kanser yang sedang dijalankan. Kesedaran awal, pencegahan dan rawatan segera amat penting bagi memastikan pesakit kanser ginekologi terus mendapat rawatan yang optimum dan selamat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN