Fariedz Fazley akur tersingkir, sudah ada perancangan bakal terbit ‘single’ - Utusan Malaysia

Fariedz Fazley akur tersingkir, sudah ada perancangan bakal terbit ‘single’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Walaupun hanya berbeza satu markah, penyanyi, Fariedz Fazley dan bapanya, Datuk Fazey Yaakob akur perjalanan mereka dalam program realiti Talk To My Manager (TTMM2) musim kedua berakhir malam tadi.

Jelas Fazley, 48, sebagai pengurus, dia telah pun mempersiapkan mental anaknya untuk berdepan dengan segala kemungkinan termasuklah penyingkiran.

“Sebenarnya saya sudah siapkan Fariedz sejak minggu pertama lagi. Saya katakan kepadanya, setiap minggu ada kemungkinan untuk terkeluar. Apa yang penting, buat sehabis baik supaya persembahan terakhir itu akan diingati sampai bila-bila.

“Sebagai pengurus dan bapa, saya melihat dia tidak melakukan sebarang silap. Dia menyanyi dan menari dengan sempurna seperti yang diminta, namun lapan peserta lain juga sangat hebat,” katanya ketika ditemui selepas konsert tamat, di auditorium MBSA, di sini, semalam.

Bagaimanapun, menurut Fariedz, dia menyifatkan penyingkirannya sebagai satu keputusan yang adil memandangkan kualiti saingan yang ditonjolkan oleh rakan peserta lain dirasakan lebih layak untuk kekal dalam pertandingan.

“Saya faham kenapa saya keluar. Peserta lain seperti Viviana mempunyai vokal yang sangat bertenaga manakala Kim pula mempunyai riff yang sangat bagus. Mereka semua ada kelebihan masing-masing.

“Malah saya pernah beritahu Dida (panggilan untuk Fazley), saya lega saya yang keluar. Jika peserta lain yang keluar, saya akan rasa ralat kerana mereka lebih layak untuk kekal,” katanya.

Mengulas mengenai faktor markah yang mungkin terjejas ekoran ketiadaan Fazley semasa sesi latihan, Fazley menjelaskan perkara itu bukan disengajakan berikutan dia mempunyai masalah penerbangan namun percaya segala yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.

Malah kongsi Fazley, anaknya itu sebenarnya sudah pun menerima tawaran sebagai artis rakaman sejak minggu pertama program bermula.

“Fasa kedua Fariedz adalah rakaman single yang dihasilkan, ditulis dan digubah sendiri olehnya. Kita akan terbang ke luar negara dalam tempoh dua minggu lagi untuk proses rakaman.

“Bakat Fariedz ini unik, dia bukan penyanyi jenis ‘belter’ tetapi lebih penyanyi dengan muzik seperti Noh Hujan atau Masdo. Ini adalah permulaan buatnya dalam industri seni dan bakal diterbitkan dalam masa terdekat,” jelas Fazley lagi.

Dalam masa yang sama, Fariedz yang bakal memulakan pengajian dalam bidang perubatan pada Ogos depan nekad untuk membahagikan masa antara pelajaran, kerjaya muzik dan minatnya dalam bidang kulinari.

Terdahulu, Fariedz tersingkir daripada TTMM2 apabila nyanyiannya mempersembahkan lagu Baby nyanyian Justin Bieber dan Kopi Dangdut oleh Fahmi mendapat markah terendah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN