PETALING JAYA: Ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan kegiatan mencuri serta pengubahan wang haram melibatkan bilion ringgit ke luar negara.
Penafian itu dibuat susulan laporan beberapa portal berita yang memetik kandungan satu rakaman video didakwa melibatkan perbualan dua individu dikenali sebagai Sofia Rini dan Albert Tei Jiann Cheing.
Farhash berkata, dakwaan itu tidak benar, tidak berasas serta bersifat fitnah yang jelas bertujuan mencemarkan reputasi dan integritinya, selain memberi kesan kepada kehidupan peribadi serta urusan perniagaan.
“Saya dengan tegas dan tanpa sebarang keraguan menafikan semua tuduhan tersebut. Saya tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti mencuri atau pengubahan wang haram seperti yang didakwa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Albert membuat laporan polis mendesak pihak berkuasa membuka kertas siasatan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Farhash.
Ia susulan pendedahan rakaman video yang mendakwa lawatan Anwar ke Afrika pada tahun lalu adalah untuk memindahkan sejumlah wang, selain mendakwa Farhash telah mendapat taraf kewarganegaraan Turki.
Bagaimanapun, Anwar menafikan dakwaan itu dan meminta pemberita tidak melayan tuduhan sedemikian serta menegaskan pihak yang membuat dakwaan perlu mengemukakan bukti.
Dalam pada itu, Farhash turut menafikan dakwaan memiliki kewarganegaraan Turki dan tidak mempunyai sebarang akaun bank di negara berkenaan.
“Saya hanyalah seorang ahli perniagaan dan tidak mengetahui mengapa saya diheret ke dalam perkara ini, melainkan terdapat pihak tertentu yang mempunyai kepentingan lain, termasuk bermotifkan politik,” ujarnya.
Farhash berkata, satu laporan polis telah dibuat dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 499 Kanun Keseksaan.
Beliau menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyebaran fitnah tersebut.
“Saya telah mengarahkan peguam untuk memfailkan tindakan undang-undang demi melindungi nama baik serta kepentingan saya,” katanya. – UTUSAN










