Empat lelaki didakwa bunuh warga emas - Utusan Malaysia

Empat lelaki didakwa bunuh warga emas

EMPAT lelaki dituduh membunuh warga emas dalam kejadian samun bulan lalu didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas tuduhan secara bersama membunuh seorang lelaki warga emas dalam kejadian samun bersenjatakan parang di sini  bulan lalu.

Tertuduh, S. R. C Parkash Rao, M. V. Aligeswaran, T. Tiagesan dan K. Shanker yang masing-masing berumur 25 tahun memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa pada 17 April lalu antara pukul 6 pagi hingga 6.30 pagi di No.110, Lorong Emas L2/1, Pekan Baru Daerah Hilir Perak, Perak mencapai niat bersama telah melakukan bunuh.

Tindakan itu menyebabkan kematian N. Jeyagoby, 70, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, kesemua mereka boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang daripada tiga puluh tahun dan tidak melebihi empat puluh tahun.

Jika tidak digantung sampai mati hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Julai depan bagi serahan dokumen kes dan laporan perubatan.

Media melaporkan pada 17 April lalu, seorang warga emas maut selepas dilibas senjata tajam dipercayai parang oleh sekumpulan penyamun dalam kejadian di Pekan Baru di Teluk Intan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar 6.02 pagi ketika isteri mangsa berada di halaman rumah untuk persiapan sembahyang manakala mangsa sedang berehat di dalam rumah.

Dalam kejadian tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan parah akibat dilibas dengan senjata tajam dipercayai parang di tangan kanan dan tapak tangan kiri sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN