PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerbitkan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak serta mengurangkan risiko kandungan memudaratkan dalam talian.
MCMC berkata, dua kod tersebut ialah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang diterbitkan susulan sesi libat urus bersama pemain industri, pertubuhan masyarakat sivil serta pihak berkepentingan berkaitan.
Katanya, pelaksanaan rundingan awam bagi kod berkenaan berlangsung dari 12 Februari hingga 31 Mac lalu.
“CPC dan RMC merupakan langkah penting dalam memperkukuh pendekatan Malaysia terhadap keselamatan dalam talian.
“Pelaksanaan obligasi utama di bawah ONSA ini juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan pengalaman digital yang lebih selamat bagi kanak-kanak dan keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MCMC, langkah itu membantu memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran dalam talian, di samping memberi keyakinan tambahan kepada ibu bapa dalam menghadapi risiko digital yang semakin kompleks.
Katanya, kod tersebut menetapkan jangkaan yang jelas kepada pemberi perkhidmatan supaya memikul tanggungjawab lebih besar dalam menangani kandungan memudaratkan dalam perkhidmatan masing-masing, khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan pengguna rentan.
“Pendekatan pelaksanaan di bawah kod ini adalah berasaskan hasil yang memberi fleksibiliti kepada pemberi perkhidmatan untuk melaksanakan penyelesaian bersesuaian dengan keperluan keselamatan, privasi dan perundangan,” katanya.
MCMC berkata, CPC memberi tumpuan kepada usaha memastikan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian dengan umur bagi pengguna kanak-kanak.
Katanya, ia termasuk memastikan pemberi perkhidmatan menerapkan prinsip keselamatan melalui binaan atau safety by design dalam perkhidmatan mereka, termasuk perlindungan bagi mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna bawah umur 16 tahun.
“Langkah di bawah CPC menyediakan perlindungan mengikut umur serta mengehadkan fungsi tertentu yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko dan mengurangkan pendedahan kepada kandungan eksploitasi dan memudaratkan,” katanya.
Sementara itu, MCMC berkata, RMC pula menghendaki pemberi perkhidmatan melaksanakan langkah proaktif dan menyeluruh bagi mengurangkan risiko kandungan memudaratkan.
Menurut MCMC, ia termasuk penilaian risiko, tadbir urus kandungan yang lebih kukuh, mekanisme pelaporan dan respons yang berkesan, pengesahan pengiklan serta pelabelan kandungan yang dimanipulasi.
“CPC dan RMC akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun depan, namun tempoh pelaksanaan munasabah akan diberikan kepada pemberi perkhidmatan bagi membolehkan proses pengesahan diselesaikan dengan teratur,” katanya. – UTUSAN










